HIMPUNAN Selamatkan Malaysia yang diadakan di ibu kota hari ini tidak mematuhi Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Allaudeen Abdul Majid.
“Perhimpunan hari ini tidak termasuk di bawah PAA.
“Disebabkan itu, kami akan lihat apa tindakan susulan yang patut diambil selepas ini,” katanya kepada wartawan pada sidang media di Balai Polis Dang Wangi.
Walaupun penganjur menghantar notis, Allaudeen menjelaskan ia tidak mengikuti peruntukan PAA.
“Polis adalah penguatkuasa undang-undang dan kami dipandu oleh undang-undang termaktub iaitu PAA 2012, yang menggariskan perkara yang perlu dipatuhi polis dan penganjur terutama sekali dalam Seksyen 9,10 dan 11.
“Menurut Seksyen 9 akta, penganjur diperlukan menyediakan notifikasi tentang sebarang perhimpunan yang akan diadakan.
“Di bawah Jadual 4 Seksyen 10 Akta PAA, terdapat satu borang yang perlu dinyatakan maklumat penganjur dan kebenaran diperolehi daripada pemilik tanah, premis dan sebagainya dan ia perlu disertakan dalam notifikasi.
“Disebabkan itu, kami mahu tekankan yang notifikasi perlu ikut undang-undang yang sudah wujud. Ia bukan sebarang surat yang boleh dilayan sebagai notifikasi. Ia perlu berada dalam ruang lingkup undang-undang.
“Sesiapa yang mahu berhimpun perlu tahu tentang keperluan ini. Mereka perlu patuh supaya polis boleh mudahkan perhimpunan dan untuk menjaga keselamatan awam,” katanya lagi.
Menurut Allaudeen, perhimpunan yang bermula di Kampung Baru pada 1.15 petang berakhir pada 3.30 petang di hadapan Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman, dengan polis menganggarkan hampir 850 orang terlibat.
Tambahnya lagi, polis akan menjalankan siasatan tentang himpunan hari ini dan tindakan susulan akan diambil.
“Seramai 16 individu yang berucap pada perhimpunan hari ini. Selain mereka, polis juga akan memanggil sesiapa sahaja yang diperlukan untuk membantu siasatan berkaitan himpunan ini.”
Beliau turut menjelaskan yang polis dengan jumlah pegawai dan anggota yang mencukupi berjaya menguruskan himpunan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Menyentuh laporan polis dibuat Ahli Majlis Tertinggi Muafakat Nasional Tun Faisal Ismail Aziz hari ini, Allaudeen berkata pihaknya akan bertindak sewajarnya. – 16 September, 2023.
Komen