Ahli Parlimen Kota Melaka persoal kelulusan projek Melaka Gateway


Noel Achariam

Pemaju KAJD mengumumkan projek Melaka Gateway bernilai RM43 bilion dihidupkan semula dengan sokongan kerajaan persekutuan dan Melaka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 September, 2023.

AHLI Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mempersoalkan sama ada projek Melaka Gateway memperoleh semua kelulusan yang diperlukan, termasuk laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi memulihkan projek pembangunan itu.

Beliau berkata kenyataan pemaju mereka akan memulihkan projek itu samar-samar kerana tidak ada menyebut mengenai laporan EIA.

“Mereka (pemaju) secara umum berkata mereka mendapat kelulusan.

“Apa yang kita ingin tahu apakah kelulusan yang diberikan kepada mereka? Khususnya sama ada mereka akan meneruskan kerja dengan EIA,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Isnin, pemaju KAJ Development Sdn Bhd (KAJD) mengumumkan projek bernilai RM43 bilion itu sedang dihidupkan semula dengan sokongan kerajaan persekutuan dan Melaka.

Pengerusi Eksekutif KAJD Daing A Malek Daing A Rahaman berkata, pembangunan projek Melaka Gateway akan disambung semula dengan pembinaan Terminal Pelayaran Antarabangsa Melaka (MICT) dengan hak operasi eksklusif daripada kerajaan Melaka.

Daing berkata, terminal antarabangsa itu akan dapat menampung ketibaan kapal persiaran dan dijangka membawa kira-kira 3.5 juta pelancong ke Melaka Gateway setiap tahun.

Khoo berkata, Jabatan Alam Sekitar juga perlu menjawab sekiranya laporan EIA diluluskan untuk projek itu.

Beliau berkata di Parlimen tahun lalu, beliau meminta bekas menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man untuk laporan itu dan jawapannya KAJD masih belum menyerahkan laporan EIA.

“Kami masih belum dengar sebarang laporan EIA bagi projek itu. Mereka mesti mempunyai laporan semasa EIA.

Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, pemaju menyatakan mereka mendapat kelulusan secara umum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 17 September, 2023.

“Ini satu perkara yang serius jika mereka memulakan pembangunan,” kata ahli Parlimen DAP itu.

Jelasnya, penduduk tempatan tidak menentang pembangunan, tetapi ia tidak boleh menjejaskan atau menimbulkan masalah kepada masyarakat di kawasan projek itu.

Semalam, Save Our Seashores Malacca (SOS) berkata, ia akan membincangkan tindakan undang-undang terhadap projek itu bersama Khoo hujung minggu ini.

“Kami tidak menolak mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju kerana tidak mengeluarkan EIA, serta kerajaan Melaka kerana membenarkan projek itu.

“Kami akan mendapatkan nasihat dan mengkaji untuk membabitkan peguam alam sekitar mengenai isu ini,” kata pengerusi SOS Martin Theseira kepada The Malaysian Insight.

Theseira berkata, projek itu menimbulkan kesan buruk terhadap alam sekitar ke atas penempatan Portugis, yang kebanyakan penduduknya adalah nelayan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 1,200 keluarga termasuk 150 nelayan terjejas susulan projek itu.

Kumpulan alam sekitar juga mempersoalkan kesahihan projek mega yang akan dihidupkan semula dan bertanya sama ada terdapat EIA yang dilakukan dan diluluskan oleh kerajaan negeri.

Theseira berkata, adalah menyalahi undang-undang jika projek itu diteruskan tanpa EIA yang sah.

“Kami sudah lama mahukan dialog dengan kerajaan negeri dan pemaju, tetapi tidak berjaya,” katanya. – 17 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen