Patahnya gelombang Perikatan Nasional


Mohd Azizi Jaeh

Gelombang PN di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pada PRN lepas tidak boleh disamakan sama sekali dengan konteks politik Johor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2023.

KEMARAAN Perikatan Nasional (PN) untuk melebarkan pengaruh di Johor dalam pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini nampaknya tidak menjadi. Keputusan PRK tersebut sedikit sebanyak memperlahankan tempo gelombang hijau yang sedang memuncak selepas pilihan raya negeri (PRN) bulan lalu. 

Kedua-dua kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram kekal status quonya untuk Pakatan Harapan (PH). Biarpun diakui gelombang PN yang berjaya memasuki Johor melalui pintu Muar boleh meningkatkan tahap sokongan pengundi Melayu, tetapi ia masih tidak cukup untuk meruntuhkan kubu pertahanan PH-BN. 

Meskipun Barisan Nasional (BN) berada di tahap yang lemah, kerjasamanya bersama PH membantu untuk menahan badai dan serangan dari PN. Jalinan kerjasama ini boleh disifatkan saling melengkapi untuk menarik sokongan pelbagai lapisan kaum. Kebetulan pula kedua-dua  kerusi yang dimenangi itu sifat dan cirinya adalah majmuk. 

Keyakinan PN untuk mencipta kejutan dan merampas kerusi berkenaan tidak menjadi realiti. Sebaliknya ia mampu ditangani, diserap dan disekat pengaruhnya dengan berkesan. Di sebalik keputusan ini atau buat seketika, Umno sekali lagi dapat diselamatkan ketika berada di ‘curam kejatuhan’. 

Lebih penting PH-BN dapat membentuk satu naratif bahawa gelombang hijau PN tidak bersifat nasional (keseluruhan) atau merebak ke seluruh negeri (Semenanjung Malaysia), sebaliknya lebih terhala kepada negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara Semenanjung. 

Perlu diingatkan sentimen setempat atau lokal semestinya berbeza-beza di antara satu tempat atau negeri-negeri Melayu lain. Tambahan pula, faktor demografi dan budaya sesuatu kerusi itu bercampur-aduk. 

Perbezaan peratusan kaum yang marginal atau dengan kata lain komposisi pengundi yang hampir seimbang antara Melayu dan bukan Melayu boleh menjejaskan peluang PN secara struktural. 

Gabungan itu terlalu centric untuk mendapatkan undi orang Melayu dan hampir gagal menarik sokongan bukan Melayu antara faktor gelombang PN boleh dibendung. 

Harus ditegaskan juga, pola politik di negara ini mempunyai pemboleh ubah yang berbeza untuk dibaca setiap kali pilihan raya. Pilihan raya umum (PRU), PRN dan PRK berbeza gelanggang, situasi dan modnya di mata pengundi. 

Apatah lagi dalam membicarakan soal undi orang Melayu, ia merupakan tanda aras kepada kekuatan sebuah parti untuk menang pilihan raya dan bertahan sebagai kerajaan. 

Hakikatnya, latar sejarah dan tahap pembangunan sesuatu negeri itu mencirikan yang dimensi politik Melayu itu pelbagai dan tidak tunggal sifatnya. 

Politik orang Melayu bersifat jamak dan tidak semestinya akan mengikuti pola yang sedang berlaku di negeri-negeri lain. Setiap negeri dan masyarakatnya ada kecenderungan kepada sejarah parti politik tertentu. Bahkan membentuk suatu pusat budaya politik yang khusus dan tersendiri (baca: bangsa Johor). 

Masyarakat Johor dianggap lebih fleksibel dan moderat dalam soal pendirian politik. Ditambah pula, elemen pembirokrasian agama yang ditetapkan secara khusus oleh ‘kuasa teratas’ dalam mewujudkan kawalan sosial telah melunakkan kehidupan politik bangsa Johor daripada cenderung ke arah pemikiran yang keras. 

Malahan Johor merupakan negeri kelahiran Umno. Sifat semula jadi dan DNA Umno itu hampir sebati dengan tingkah laku politik sebahagian masyarakat Johor. Dalam konteks pengundi Melayu setidak-tidaknya ia memberi sedikit kelebihan kepada Umno untuk mengekang dan menggempur PN sekali gus mengaut undi Melayu untuk PH.  

Jumlah undi yang munasabah daripada penyokong Umno dapat dipindahkan ke PH meskipun angkanya tak sebesar undi Melayu kepada PN, namun jumlah undi yang signifikan itu ditambah pula sokongan hampir solid pengundi Cina merupakan formula kemenangan PH. 

Walaupun PN tewas, gelombang PN yang cuba dialirkan sehingga ke negeri Selatan ini tentunya memberi impak. Pertambahan jumlah undi di kedua-dua kerusi ditandingi PN dalam jumlah yang signifikan tidak boleh dipandang kecil.

Masalah PN yang bergantung sepenuhnya kepada undi Melayu dan tidak menggambarkan tarikan undi semua kaum telah menggagalkan PN untuk menawan kerusi campuran ini. Ia sekali gus mencirikan yang gelombang PN itu terbatas sifatnya di negeri tertentu dan ada sempadan khusus sahaja yang boleh ditembusi. 

Selain itu, penulis tidak berhasrat untuk membincangkan keputusan PRK di Johor dalam rencana ini, ia disebabkan perbincangan bersifat statistik dan numerikal memerlukan sebuah rencana berasingan. 

Apa pun isyarat daripada pasca PRN ini menunjukkan majoriti undi yang dimenangi blok kerajaan pada kedudukan yang kukuh dan meyakinkan meskipun data atau angkanya boleh diperdebatkan.

Majoriti lebih 18,000 di Pulai dan lebih 3,000 di Simpang Jeram adalah kemenangan jelas. 

Penulis tidak mahu terlalu terperangkap dengan permainan politik angka, sedangkan politik bukan hanya perlu dipandang secara matematik, tetapi politik itu matlamat utamanya adalah permainan kuasa. Berkelebihan satu undi dari lawan tetap menjadi pemenang dalam sistem pilihan raya demokrasi. 

Akhirnya pengundi telah pun membuat keputusan. Gelombang hijau berlaku di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu pada PRN lepas tidak boleh disamakan sama sekali dengan konteks politik Johor. 

Johor situasinya lebih beragam dan kompleks sejarahnya – tidak boleh menggunakan kanta yang sama untuk mengukur dan melihat pemandangan politik berbeza. – 14 September, 2023.

* Mohd Azizi Jaeh sedang mengikuti Pengajian Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang sains politik. Pengkajian beliau banyak tertumpu pada parti politik dan sejarah politik Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen