Hentikan pilihan raya kecil tidak perlu


PADA 9 September lalu berakhirlah kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan DUN Simpang Jeram dengan pengekalan status quo.

Di Pulai calon Amanah, Suhaizan Kayat menang dengan majoriti 18,641 undi manakala di Simpang Jeram seorang lagi calon Amanah Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi.

Kedua-dua PRK ini dilangsungkan ekoran kematian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub, pada 23 Julai lalu.

Sepatutnya Perikatan Nasional (PN) tidak meletakkan calon dalam PRK ini sebagai menghormati Salahuddin, dan ini pernah dibuat Umno yang tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Chempaka, Kelantan pada 22 Mac, 2015 sebagai menghormati Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggal dunia pada 12 Februari, 2015.

Sejak dari awal lagi sudah diketahui agak mustahil untuk calon PN menang di Pulai dan di Simpang Jeram kerana kedua-dua kerusi ini merupakan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).

Walaupun begitu, disebabkan PN nekad mahu mengembangkan gelombang hijaunya ke Johor dengan harapan kemenangan dalam PRK ini akan menghidupkan agenda menukar kerajaannya atau sekurang-kurangnya menafikan majoriti 2/3 PH-Barisan Nasional (BN) di Parlimen maka PN menyertainya dengan bersungguh-sungguh berkempen untuk menang.

Bagaimanapun, PN tetap kalah dan gelombang hijaunya gagal menembusi Johor. Malah jumlah undi dan majoriti undi yang diperolehi PH di Simpang Jeram, iaitu 13,844 undi dan 3,514 undi, jauh lebih tinggi berbanding yang diperolehi oleh PH dalam PRN Johor pada 12 Mac, 2022 iaitu 8,749 undi dan 2,399 undi.

Ini menunjukkan berlaku perpindahan undi yang besar dari BN ke PH sekali gus menjadi bukti penerimaan pengundi terhadap PH-BN.

Mengadakan sesuatu PRK menelan belanja yang banyak. Dana awam yang perlu dikeluarkan sudah mencecah jutaan.

Mengikut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Abdul Ghani Salleh, kos untuk mengadakan PRK Pulai dianggarkan sebanyak kira-kira RM4.5 juta manakala kos untuk mengadakan PRK Simpang Jeram pula dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.5 juta. Ini belum dikira lagi dana lain yang terpaksa dikeluarkan oleh pelbagai pihak lain lagi ke atasnya.

PRK juga mengganggu urusan kerajaan. Pemimpin dan pegawai kerajaan tidak dapat fokus mentadbir negara dan negeri kerana terpaksa berkempen dalam usaha untuk cuba memenangkan parti masing-masing.

Banyak pihak, termasuk pelabur, penganalisis dan rakyat marhaen, juga terkesan dengan PRK begini kerana apa-apa keputusannya boleh menjejaskan kestabilan politik. Ini belum dikira dengan sentimen yang memuncak sewaktu kempen yang meresahkan sehingga menyebabkan banyak pertelingkahan berlaku.

Belum lagi reda dengan bahang PRK, pada 23 September hingga 3 Oktober depan akan ada pula satu lagi PRK Pelangai yang, mengikut SPR, memerlukan peruntukan RM2.1 juta. Ia terpaksa diadakan ekoran kematian Johari Harun daripada Umno pada 17 Ogos lalu.

Walhal secara logik keputusan PRK Pelangai sudah boleh diketahui dari awal kerana dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15), Johari yang merupakan exco kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau Pahang, menang dengan majoriti besar 4,048 undi apabila memperolehi 7,308 undi berbanding 3,260 undi calon PAS dan 2,031 undi calon Amanah.

Malah, jika diteliti rekod lalu, perkara sama berlaku sebelum ini. Antara PRU14 pada 9 Mei, 2018 dan PRU15 pada 19 November, 2022 sahaja terdapat dua PRK Parlimen dan enam PRK DUN yang terpaksa dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya.

Daripada lapan PRK ini hanya dua PRK menghasilkan perubahan keputusan tatkala suasana politik memang amat berubah. Pertama adalah PRK Semenyih, Selangor dilangsungkan pada 2 Mac, 2019 ekoran kematian Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu pada 11 Januari, 2019 menyaksikan berlaku perubahan dengan Zakaria Hanafi dari Umno menang dengan majoriti 1,914 undi.

Kedua, PRK Tanjung Piai, Johor pada 16 November, 2019 ekoran kematian Md Farid Md Rafik daripada Bersatu pada 21 September, 2019 yang menyaksikan Wee Jeck Seng daripada MCA menang dengan majoriti 11,521 undi.

Begitu juga antara PRU13 pada 10 April, 2013 dan PRU14 pada 9 Mei, 2018 terdapat lima PRK Parlimen dan lima PRK DUN yang terpaksa dilangsungkan ekoran kematian penyandangnya dengan hanya satu PRK sahaja yang menghasilkan perubahan, iaitu PRK Telok Intan, Perak, pada 31 Mei, 2014 ekoran kematian Seah Leong Peng daripada DAP yang menyaksikan Mah Siew Keong (Gerakan) menang dengan majoriti 238 undi.

Untuk itu, demi kepentingan kestabilan negara dan penjimatan kos maka mungkin sudah tiba masanya untuk undang-undang negara dipinda bagi mengelakkan perlunya PRK terus terpaksa diadakan ekoran kematian penyandangnya.

Satu cara yang boleh digunakan ialah mengadakan peruntukan baru yang menyatakan kekosongan jawatan dalam bentuk begini hendaklah diisi mana-mana calon yang dikemukakan namanya oleh parti diwakili penyandang yang meninggal dunia tanpa memerlukan PRK diadakan sekali gus menjimatkan dana, masa dan tenaga.

Selain itu, undang-undang juga perlu diperketatkan bagi memasukkan syarat “sihat tubuh badan”, yang memerlukan laporan dan pembuktian terperinci, ke dalam kelayakan seorang calon bertanding dalam pilihan raya demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Tegasnya, satu langkah konkrit perlu segera diambil bagi mengelakkan negara terpaksa berhadapan dengan politiking berterusan yang tidak memberikan manfaat malah merugikan dana dan boleh menjejaskan kestabilan negara ekoran PRK yang tidak perlu ini. – 13 September, 2023.

* Summugam Rengasamy adalah bekas Adun Bukit Selambau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen