Warga Israel bantah pindaan kuasa badan kehakiman


Puluhan ribu rakyat Israel berarak ke Agranat Square sebagai bantahan pindaan kuasa badan kehakiman. – Gambar AFP, 12 September, 2023.

PULUHAN ribu rakyat Israel turun ke jalan raya dan melaungkan slogan “Demokrasi!” semalam, sehari sebelum perbicaraan penting bagi menentukan sama ada usaha kerajaan mengehadkan kuasa mahkamah tinggi diterima.

Di Baitulmaqdis puluhan ribu orang berarak ke Agranat Square. Selepas perhimpunan itu penunjuk perasaan merancang untuk berarak menuju ke kediaman Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur.

Pada pagi Selasa, panel yang terdiri daripada 15 hakim Mahkamah Agung akan bersidang buat kali pertama dalam sejarah bagi membincangkan lapan rayuan terhadap undang-undang yang baharu diluluskan yang membatalkan sebahagian daripada kuasa mereka, lapor Xinhua.

Perbincangan itu akan menjadi yang pertama daripada tiga kes berasingan yang berkaitan dengan “legality of the divisive overhaul” yang dijangka didengar oleh Mahkamah Agung dalam beberapa minggu akan datang.

Hanya tiga menteri dalam gabungan pemerintah menyatakan mereka akan mematuhi keputusan Mahkamah Agung jika ia memutuskan undang-undang itu tidak menurut perlembagaan.

Aktivis bersiap sedia untuk mengadakan lebih banyak tunjuk perasaan dan perarakan pada Selasa termasuk perhimpunan usahawan dan pekerja berteknologi tinggi di Ramat HaHayal, hab teknologi tinggi di timur Tel Aviv.

Netanyahu mengemukakan rancangan pembaharuan itu pada Januari menyatakan kuasa hakim-hakim yang tidak terpilih perlu dikurangkan dan dipindahkan ke Parlimen di mana beliau mempunyai majoriti.

Netanyahu disokong oleh gabungan parti sayap kanan dan parti ultra agama.

Pihak yang menentang keputusan Netanyahu berpendapat ia menjejaskan kedaulatan undang-undang, menjejaskan kebebasan mahkamah dan akan menggalakkan rasuah.

Semalam Menteri Pertahanan Yoav Gallant memberi amaran pada persidangan keselamatan di luar Tel Aviv bahawa tunjuk perasaan besar-besaran itu “membahayakan daya tahan negara dan tentera”.

Menurut anggaran polis kira-kira tujuh juta daripada 9.656 juta penduduk menyertai demonstrasi mingguan yang berlangsung di seluruh negara selama 36 minggu berturut-turut. – Bernama, 12 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen