Kelayakan Piala Dunia: Messi dijangka terlepas aksi menentang Bolivia


Lionel Messi bermain 12 perlawanan dalam tempoh 48 hari lalu, hampir tidak berehat sejak menyertai Inter Miami secara percuma pada pertengahan Julai. – Gambar EPA, 10 September, 2023.

KAPTEN Argentina, Lionel Messi mungkin terlepas aksi kelayakan Piala Dunia pasukannya menentang Bolivia pada Selasa kerana keletihan.

Pemain berusia 36 tahun itu digantikan lewat dalam kemenangan 1-0 Argentina di tempat sendiri ke atas Ecuador pada Khamis dan menjalani pemeriksaan berjaga-jaga pada awal Jumaat, kata ketua jurulatih Lionel Scaloni.

Walaupun keputusan itu mengesahkan Messi bebas daripada sebarang kecederaan, Scaloni dan kakitangan sokongan beliau bimbang dengan beban kerja besar penyerang itu baru-baru ini, Xinhua memetik laporan media di negara Amerika Selatan itu.

Messi bermain 12 perlawanan dalam tempoh 48 hari yang lalu, hampir tidak berehat sejak menyertai Inter Miami secara percuma pada pertengahan Julai.

Akhbar Ole melaporkan Scaloni sedang mempertimbangkan beberapa perubahan pada kesebelasan utamanya untuk perlawanan pada Selasa dengan percaya pemain muda akan mengatasi ketinggian 3,600 meter La Paz dengan lebih baik. – Bernama, 10 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen