Sasaran iklim Asean 2050 tidak akan tercapai, kata pemimpin


Desmond Davidson

CEO Kumpulan Sarawak Energy Sharbini Suhaili berkata tindakan Asean tidak cukup cepat dan tidak cukup besar dalam mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050. – Gambar Facebook, 10 September, 2023.

PEMIMPIN tenaga Asean yang menghadiri Forum Kelestarian dan Tenaga Boleh Diperbaharui edisi ketiga (Saref 3.0) di Kuching minggu lalu bersetuju negara Asean tidak akan mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050, jika dilihat kepada usaha dijalankan pada masa ini.

“Sudah tentu tidak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (Seda) Hamzah Hussin sementara Presiden dan CEO Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi tinggi Malaysia (Might) Mohd Yusoff Sulaiman berkata “kita terlalu lambat”.

CEO Kumpulan Sarawak Energy (SEB) Sharbini Suhaili yang juga tuan rumah forum itu berkata tindakan Asean tidak cukup cepat dan tidak cukup besar dalam mencapai sasaran itu.

“Kepantasan dan skala tidak selaras dengan sasaran Perjanjian Paris,” katanya pada forum dua hari itu.

Perjanjian Paris adalah pelan global untuk menjadikan suhu dunia di bawah 2°C – jika boleh 1.5°C – berbanding paras pra industri.

Ia diterima oleh 196 pihak, termasuk Malaysia, pada Persidangan ke-21 Negara Pihak Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim PBB dan berkuatkuasa pada 4 November, 2016.

Sharbini berkata Malaysia akan mencapai puncak pelepasan karbon dioksida pada 2025, dan perlu merendahkan kepekatan karbon sebanyak 43% menjelang 2030.

Katanya, Malaysia ada tujuh tahun untuk mencapai sasaran iklimnya.

“Apa yang saya faham daripada usaha yang sedang dilakukan hari ini, kita hanya mencapai 2.8°C,” katanya.

Kepantasan Asean pada masa ini perlu dilihat semula, katanya.

“Dunia berdepan dekad yang kritikal berkaitan tindakan iklim. Kita perlu lakukan lebih lagi dan melakukannya dengan cepat.” – 10 September, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen