140 laporan kaitan PRK Pulai, Simpang Jeram


POLIS menerima 140 laporan berkaitan pelbagai kesalahan berhubung proses Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram sejak 26 Ogos lalu hingga tengah malam semalam.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan yang paling banyak diterima berhubung tindakan pihak tertentu menurunkan poster ataupun sepanduk, serta merosakkan papan iklan dan bendera.

“Bagaimanapun Alhamdulillah, perjalanan proses pengundian hari ini berjalan lancar di semua pusat mengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat penjumlahan undi di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Sementara itu merujuk kepada insiden dua pengamal media di Johor didakwa dikasari pegawai pengiring seorang menteri Selasa lalu, Kamarul Zaman berkata siasatan dalaman sudah dilakukan dan percakapan saksi dirakam.

“Siasatan dalaman sudah dijalankan, kami sudah panggil seorang saksi dan rakam percakapan. Kini terpulang, kalau nak buat laporan polis, boleh buat, kami akan teruskan siasatan, jadi kalau rasa perlu buat (laporan) boleh buat,” katanya.

Dalam insiden itu, dua wartawan wanita mendakwa dikasari beberapa pegawai pengiring seorang menteri ketika membuat liputan program kempen PRK Parlimen Pulai di Taman Anggerik dan Taman Dahlia, Johor Bahru. – Bernama, 9 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen