Kiraan undi PRK Pulai, Simpang Jeram bermula


Keputusan bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dijangka diketahui selepas jam 9 malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2023.

PENGIRAAN undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram bermula.

Sebanyak 61 pusat mengundi bagi kedua-dua PRK itu ditutup pada jam 6 petang hari ini.

Sehingga jam 4 petang, Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan peratusan keluar mengundi adalah 42% bagi PRK Parlimen Pulai.

Manakala peratusan keluar mengundi bagi PRK DUN Simpang Jeram adalah 56%.

Keputusan rasmi dijangka selepas jam 9 malam tetapi keputusan tidak rasmi mungkin diketahui lebih awal.

Data terkini menunjukkan 165,509 berdaftar untuk mengundi di Pulai dan 40,301 di Simpang Jeram.

Pengundi memilih wakil baharu bagi menggantikan Salahuddin Ayub, yang meninggal dunia pada 23 Julai lalu.

Pada Selasa, seramai 831 anggota polis mengundi awal bagi PRK Pulai. Peratusan keluar mengundi adalah 90%.

Tiada pengundian awal bagi PRK Simpang Jeram.

Di Pulai, calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kaiat berdepan saingan Zulkifli Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas Samsudin Mohamad Fauzi.

Di Simpang Jeram pula, calon PH, Nazri Abdul Rahman dicabar Dr Mohd Mazri Yahya (PN) dan calon Bebas, S Jeganathan. – 9 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen