Sarawak, Putrajaya jalankan kajian kebolehlaksanaan kereta api trans-Borneo


Desmond Davidson

Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Alice Jawan Empaling berkata fokus utama kajian itu adalah untuk membangunkan rangkaian kereta api barangan dan penumpang di Sarawak dan kemudiannya kemungkinan meluaskan rangkaian itu ke seluruh Borneo.– Gambar Ukas, 8 September, 2023.

SARAWAK dan kerajaan persekutuan tidak lama lagi akan menjalankan kajian kemungkinan untuk kereta api trans-Borneo yang akan merentasi pulau ketiga terbesar di dunia, kata Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan Sarawak, Alice Jawan Empaling.

Dalam perbincangan pada sesi pleno mengenai mobiliti hijau yang dikuasakan oleh tenaga boleh diperbaharui pada forum Kelestarian dan Tenaga Diperbaharui (Saref) 3.0 yang baru sahaja selesai di Kuching, Jawan berkata kajian itu dijangka diadakan tahun depan.

Beliau berkata fokus utama kajian itu adalah untuk membangunkan rangkaian kereta api barangan dan penumpang di Sarawak dan kemudiannya “kemungkinan meluaskan rangkaian itu ke seluruh Borneo (pulau)”.

Rangkaian rel itu adalah untuk menghubungkan bandar-bandar utama di Sarawak, Kalimantan, Brunei dan Sabah.

Pada masa ini satu-satunya kereta api penumpang di Borneo adalah di Sabah - Kereta Api Negeri Sabah.

Jawan juga mendedahkan bahawa persidangan pengangkutan Sarawak yang sedang berlangsung juga membincangkan rangkaian Trans Borneo.

Beliau berkata perbincangan itu adalah untuk garisan bergelung ke selatan Kalimantan dan seterusnya ke ibu kota pentadbiran Indonesia baharu Nusantara.

Rangkaian Trans Borneo boleh diintegrasikan ke dalam pelan rangkaian rel Kalimantan sepanjang 1,400km yang dilaporkan Indonesia telah disediakan untuk melayani bandar-bandar utamanya dari Banjarmasin ke Singkawang dan membangunkan rangkaian dari kawasan perlombongan arang batu ke pelabuhannya.

Jawan berkata kereta api Trans Borneo akan membentuk sebahagian daripada sistem pengangkutan bersepadu negeri yang “boleh diakses oleh semua orang, mampan dan pemangkin pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup yang lebih baik”.

Sama seperti sistem pengangkutan transit pantas autonomi (ART) di Kuching, kereta api Trans Borneo juga akan menggunakan enjin sifar pelepasan karbon.– 8 September, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen