Struktur semula Jabatan Peguam Negara


KES-KES berprofail tinggi melibatkan ahli-ahli politik serta kes-kes berkepentingan awam yang melibatkan pihak-pihak yang bukan marhaen nampaknya makin hari makin menjadi subjek kegagalan Jabatan Peguam Negara melaksanakan tanggungjawabnya.

Sebenarnya peguam negara dan barisan Timbalan Pendakwa Raya bawah seliannya tidak hanya menjadi Peguam atau Penasihat Undang-Undang bagi “Government of the day” sahaja.

Lebih daripada itu mereka adalah peguam bagi rakyat jelata. Mereka adalah guardian of society, of social justice.

Maka seharusnya peguam negara dan timbalan pendakwa raya berkhidmat dan bertanggungjawab pada Rakyat bukan hanya kerajaan atau perdana menteri atau timbalan perdana menteri atau Kabinet atau mereka yang sewaktu dengannya ataupun yang kaya dan ada kabel sahaja.

Sudah tiba masanya pejabat peguam negara dipisahkan. Peguam negara tidak harus menjadi pendakwa raya. Kes-kes jenayah yang membabitkan semua jenis kesalahan mestilah dibawah seliaan pendakwa raya. Noktah.

Peguam negara dan jabatan bawahnya harus hanya dibenar menjadi penasihat undang-undang pada kerajaan, jemaah menteri, kementerian-kementerian, agensi-agensi kerajaan.

Peguam negara juga harus menasihati kerajaan berkaitan penggubalan undang-undang, merangka undang-undang( drafting of laws), penasihat berkaitan isu-isu antarabangsa, dan kerja-kerja guaman lain berkaitan.

Malah tindakan-tindakan sivil membabit kerajaan juga boleh dilakukan oleh Peguam Negara dan jabatannya.

Peguam negara juga harus dipertanggungjawab untuk memberi penjelasan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam mana-mana isu berkepentingan awam.

Peguam negara tidak perlu lagi menjadi pendakwa raya.

Harus ada pemisahan ini segera. Perlu ada iltizam politik semua pihak. Tiada alasan lagi. Lakukan sekarang. Lagipun bukankah hari-hari ratib ada 2/3 majoriti.

Pendakwa raya pula hanya bertanggungjawab kepada rakyat. Perlu ada jabatan khusus bawahnya.

Belanjawan setiap tahun mesti membuat peruntukan untuk menanggung segala kos jabatan Pendakwa Raya ini.

Kita boleh ambil contoh di United Kingdom. The Crown Prosecution Services (CPS). Ia satu badan bebas dari polis serta Kerajaan UK.

Ianya dibiayai 100% menggunakan dana awam. Setiap tahun belanjawan UK akan membuat peruntukan kewangan untuk segala kos berkaitan pengurusan CPS ini.

CPS di UK melaksanakan pendakwaan kes-kes jenayah serta rayuan-rayuan berkaitan setelah polis atau agensi-agensi penguatkuasaan selesai siasatan masing-masing.

Segala keputusan oleh CPS dalam memulakan pendakwaan dan menjalankan prosiding adalah bebas dari pihak polis mahupun Kerajaan.

CPS di UK diketuai oleh seorang Director of Public Prosecutions (Pengarah Pendakwaan Awam) dan dibantu oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif yang akan menjalankan perjalanan urusan pejabat serta lain-lain perkara berkaitan.

Setiap daerah besar di UK akan diketuai pula oleh seorang Chief Crown Prosecutor (ada 13 daerah kesemuanya ) dan mereka ini bertanggungjawab kepada Pengarah Pendakwaan Awam yang berpengkalan di London.

Setiap pejabat CPS mempunyai kakitangan sendiri termasuk kerani-kerani perundangan (paralegal), pegawai-pegawai penyelidik (research officers) serta pegawai-pegawai pendakwaan (prosecutors) yang akan menjalankan pendakwaan di mahkamah-mahkamah seluruh UK .

Mereka juga akan melakukan kajian pada kertas-kertas siasatan serta menasihati pihak agensi penguatkuasaan, polis dan lain-lain untuk memastikan elemen-elemen pertuduhan dipenuhi sebelum pertuduhan di bawa ke Mahkamah.

CPS di UK merupakan sebuah karier bagi mereka yang berkelulusan undang-undang.

Kriteria yang mesti dipenuhi adalah mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda undang-undang kelas kedua, terlatih sebagai peguambela atau peguamcara, dan telah tamat tempoh kursus amalan guaman atau amalan profesion guaman. Dalam ertikata lain pengalaman sebagai pengamal undang-undang.

Malah CPS juga menggajikan peguam-peguam swasta dalam samada kes-kes khas atau membenar peguam-peguam swasta bekerja di situ.

Peguam negara UK dan Wales hanya menyelia sahaja kerja-kerja CPS UK dan menjawab bagi pihak CPS UK di Parlimen.

Peguam negara di UK tidak ada sebarang pengaruh ke atas mana-mana pendakwaan kes samada kes orang besar mahupun kes curi roti atau susu.

Selain itu. CPS di UK juga diperhatikan keberkesanan serta “performance” mereka oleh His Majesty’s Crown Prosecution Service Inspectorate (HMCPSI) agar perkhidmatan terbaik pada masyarakat terjamin.

Pemisahan jawatan peguam negara dan pendakwa raya ini mesti dilakukan segera.

Sejak beberapa ketika ini jelas kelihatan mereka-mereka yang berjawatan tinggi dan/atau yang ingin kekal dalam jawatan-jawatan tertinggi seolah-olah mendapat laluan mudah dari Jabatan Peguam Negara.

Reformasi tidak harus hanya dilaung tetapi harus kelihatan dilakukan dan wajib dilaksanakan.

Sekiranya Pendakwa Raya dan jabatannya serta unit timbalan pendakwa raya diletakkan di bawah satu bumbung, dana mereka dari belanjawan tahunan dan diberikan segala jaring keselamatan sosial, caruman KWSP, insurans kesihatan dan sebagainya percayalah isu-isu seperti apa yang dilihat sekarang tidak akan berlaku.

Selagimana kuasa pendakwaan masih tertumpu di tangan individu yang dipilih oleh perdana menteri yang hanya pentingkan jawatan yang diidam-idamkan selagi itulah krisis keyakinan Rakyat terhadap institusi pendakwa raya di Negara ini tidak akan dilenyapkan.

Jabatan Peguam Negara makin dihentam teruk dan masa untuk penstrukturan adalah sekarang dan Perlembagaan kita perlu dipinda.

Rakyat dan negara memerlukan perubahan ini. Supaya tragedi September 4 tidak berulang lagi. – 8 September, 2023.

* Rafique Rashid, Ketua Penerangan Pejuang

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen