Wajibkan pakaian seragam semula bagi murid sekolah


PEMAKAIAN seragam sekolah dilaksanakan sejak kita mencapai kemerdekaan dan sejak 1970, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan langkah lebih tersusun dalam mewajibkan semua murid sekolah rendah dan menengah untuk memakai pakaian seragam sekolah.

Saban tahun, ibu bapa menjadikan hujung tahun sebagai masa terbaik untuk bersama anak dalam menyediakan kelengkapan persekolahan di samping meluangkan masa senggang bagi menyiapkan anak dengan membeli pakaian seragam sekolah.

Menjadi satu kewajipan kepada ibu bapa jika dapat menyediakan pakaian seragam sekolah daripada pelbagai jenama dan seperti satu pesta hujung tahun dengan diskaun menarik diberikan pasaraya bagi memudahkan ibu bapa mendapatkan barangan kelengkapan persekolahan anak.

Menjadi satu kebanggaan juga kepada anak jika dapat memakai pakaian seragam sekolah yang baharu di awal tahun berserta lencana sekolah yang menjadi mercu kepada bermulanya persekolahan baharu setiap tahun.

Namun, pada 3 Oktober, 2021 menteri pendidikan Dr Radzi Jidin memberikan kelonggaran kepada murid untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah jika pakaian mereka sudah tidak muat.

Tetapi, murid diwajibkan memakai uniform sekolah kembali bermula 12 Jun, 2022. Pada 2 Mei, 2023 KPM sekali lagi mengeluarkan arahan murid dibenarkan memakai pakaian sukan untuk hadir ke sekolah kerana keadaan cuaca panas keterlaluan.

Sehingga ke hari ini tiada arahan baharu dikeluarkan KPM sedangkan cuaca kembali pulih seperti sediakala.

Rentetan arahan yang dikeluarkan KPM terhadap pemakaian seragam sekolah yang semakin longgar menyebabkan murid sudah mulai selesa untuk tidak lagi mengenakan pakaian seragam ketika memasuki kawasan sekolah.

Ketiadaan arahan terkini dalam isu pemakaian seragam sekolah menjadikan murid hadir ke sekolah mengikut sesuka hati dengan pemakaian baju sukan pelbagai warna dan keadaan ini menjadikan pakaian seragam semakin dilupakan.

Bilakah arahan baru akan dikeluarkan? Masa terus berlalu dan cuaca pun kembali baik.

Sekolah tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan murid kembali memakai pakaian seragam kerana arahan daripada pihak atasan masih tidak dikeluarkan.

Jika ditinjau keadaan semasa di sekolah, hanya beberapa pelajar saja yang mengenakan pakaian seragam sekolah ketika perhimpunan sekolah pada Isnin dan 98% daripada murid berpakaian baju sukan dan kasut sukan.

Agak cacat pemandangan pada perhimpunan sekolah dengan murid memakai baju sukan pelbagai warna dan tidak memakainya dengan kemas.

Gambaran ini menunjukkan murid sudah selesa ke sekolah dengan berpakaian kasual sedangkan seragam sekolah menjadi kebanggaan murid suatu ketika dahulu.

Pakaian seragam segak dengan bertali leher dan berlencana tidak lagi diendahkan oleh murid sedangkan seragam sekolah sedikit sebanyak membentuk jati diri murid ketika di alam persekolahan.

Pertembungan pendapat pastinya berlaku apabila arahan baru daripada KPM dikeluarkan kerana ibu bapa juga sudah selesa dengan budaya pemakaian baju sukan oleh anak mereka.

Pakaian seragam sekolah yang dulunya menjadi kemegahan zaman persekolahan dilihat ibu bapa sebagai tidak lagi bermakna dan ibu bapa merasakan ia lebih menjimatkan dengan membeli baju sukan yang lebih murah harganya berbanding satu set pakaian seragam sekolah yang rata-rata mencecah ratusan ringgit.

Justeru, KPM seharusnya bertegas dalam situasi ini terutama dengan arahan yang lebih jelas mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah dan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1985: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah (Pindaan) yang dibuat sebelum ini adalah terpakai melainkan arahan drastik yang memerlukan tindakan segera mengikut situasi semasa.

Usaha mengembalikan kegemilangan dan kebanggaan sekolah sebagai sebuah Institusi Pendidikan dengan beberapa peraturan dan arahan yang perlu dipatuhi akan menjadikan sekolah bukan sahaja sebuah tempat menimba ilmu malahan menjadi tempat bersosialisasi dan membentuk jati diri.

Sekolah sudah tidak asing lagi sebagai tempat membentuk disiplin berasaskan Rukun Negara dan dalam masa yang sama mengasuh murid dengan satu jenama sekolah dengan pemakaian seragam sekolah dan bersatu padu di bawah satu lencana.

Mengapa semua ini tidak dipandang sebagai satu wadah yang baik terhadap pelajar dan sekolah? Mengapa perlu kita menidakkan elemen yang dibina sekian lama di sekolah dan cuba melenyapkan sesuatu yang baik untuk pembentukan jati diri pelajar?

KPM perlu bertegas dalam soal ini. Arahan jelas perlu dikeluarkan supaya sekolah dapat memahamkan ibu bapa untuk kembali kepada keadaan asal yang mana murid perlu berpakaian seragam sekolah dan hanya pada hari tertentu murid dibenarkan berpakaian sukan dengan kasut sukan.

Situasi menang-menang ini diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan sekolah dalam membentuk disiplin dan jati diri murid agar sekolah dapat menghasilkan modal insan yang bangga dengan apa yang mereka perolehi dari sekolah.

Seragam sekolah yang menjadi satu kebanggaan semua murid dengan lencana sekolah yang mengikat jiwa mereka untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah sepatutnya dikekal.

KPM harus mengambil langkah yang proaktif bagi memperkasakan pemakaian seragam sekolah dan dalam masa sama dapat mengekalkan budaya dan tradisi yang terbina sekian lama. – 8 September, 2023.

* Dr Abd Razak Zakaria adalah pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen