NAIB presiden Muda Lim Wei Jiet meminta penjelasan substantif isu pembebasan Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam perbicaraan rasuahnya, berikutan penjelasan Jabatan Peguam Negara semalam terhadap bantahan orang ramai.
Dalam catatan di X Lim berkata: “Saya minta maaf, tetapi ini jawapan.
“Kami mahukan penjelasan penuh dan jujur. Ini hanya mengukuhkan apa yang disyaki orang selama ini.
“(Dan satu kerugian besar kepada orang baik dalam AGC yang saya hormati dan berurusan, ini bukan kerja mereka),” tulisnya hari ini.
Semalam, AGC berkata keputusan DNAA dalam kes rasuah Zahid Hamid adalah berdasarkan alasan yang kukuh.
“Merujuk kepada laporan media bahawa tindakan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Ahmad Zahid sebagai tidak bermoral, jabatan ini ingin menegaskan permohonan untuk melepas tanpa membebaskan dibuat kepada mahkamah, berdasarkan kepada alasan-alasan yang dikemuka dan telah pun diterima oleh mahkamah.
“Semasa membuat keputusan, YA (Yang Arif) Hakim menyatakan bahawa alasan-alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan adalah kukuh (cogent),” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dibuat selepas bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan sama ada pendakwaan menerima arahan daripada “pihak atasan” untuk membebaskan Zahid daripada kes rasuahnya.
Muhyiddin berkata jika benar ada arahan sedemikian, maka menggugurkan pertuduhan terhadap Zahid, selepas beliau diperintahkan membela diri, adalah titik hitam dalam sistem keadilan negara.
Malaysiakini melaporkan Muda juga memberi amaran untuk menarik balik sokongan kepada kerajaan yang akan menafikan mereka majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.
Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menilai semula kedudukannya dalam gabungan itu.
Beliau berkata bahawa Muda juga sedang mempertimbangkan protes jalanan dan berkata DNAA yang diberikan kepada Zahid menunjukkan “red line (batasan) terbesar” dilanggar.
Muda juga sedang memulakan kempen di seluruh negara untuk menekan AGC supaya mendakwa Zahid kerana rasuah sekali lagi.
Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah semalam membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk membenarkan Zahid dilepaskan tanpa pembebasan (DNAA) atas kesemua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram berhubung dana Yayasan Akalbudi.
Pihak pendakwaan berkata ia mahu menghentikan prosiding supaya siasatan lebih mendalam dapat dilakukan terhadap kes itu. – 6 September, 2023.
Komen