Rakyat berhak dapatkan penjelasan lepas tanpa bebas kes Zahid Hamidi


RAKYAT berhak diberikan penjelasan yang jelas dan tuntas oleh pihak Jabatan Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada kesemua 47 pertuduhan jenayah melibatkan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi minggu ini.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara agar prosiding perbicaraan diberhentikan bagi kesemua pertuduhan terhadap presiden Umno itu.

Ramai pihak dalam negara yang terkejut terhadap keputusan ini serta menuntut supaya pihak Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara memberi penjelasan terhadap perkara ini.

Penjelasan ini penting bagi mengelakkan sebarang syak wasangka, kecurigaan dan ketidakpuasan berlaku terhadap pihak Jabatan Peguam Negara sendiri serta terhadap sistem keadilan dan undang-undang di negara kita secara keseluruhannya.

Agak sukar untuk mana-mana pihak mempertikaikan keputusan pihak Jabatan Peguam Negara.

Seperti yang diketahui, pihak Jabatan Peguam Negara khususnya Peguam Negara sendiri berhak menjalankan sesuatu prosiding atau menghentikannya mengikut peruntukan kuasa yang telah diberikan kepada mereka seperti yang termaktub bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.

Untuk rekod, ini bukan pertama kali orang ramai menuntut penjelasan daripada pihak Jabatan Peguam Negara terhadap sesebuah kes.

Pada tahun 2021, kita didedahkan dengan isu dakwaan seorang pelajar sekolah terhadap seorang gurunya yang dikatakan melakukan jenaka rogol di dalam kelas.

Namun, pihak Timbalan Pendakwa Raya pada ketika itu telah memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap guru berkenaan.

Perkara yang sama juga pernah berlaku melibatkan seorang pelajar universiti awam tempatan yang telah membuat laporan polis berhubung dakwaan gangguan seksual terhadap dirinya oleh seorang pensyarah di universitinya.

Namun, pihak polis berkata pihak Timbalan Pendakwa Raya telah memutuskan tiada pertuduhan dibuat terhadap suspek terbabit.

Sukar untuk mana-mana pihak mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh pihak Jabatan Peguam Negara ini kerana keputusan mereka dianggap sebagai muktamad seperti yang termaktub bawah Kanun Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.

Namun, perlu ditegaskan sebagai seorang penjawat awam, Peguam Negara dan Pendakwa Raya perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan profesional dengan memberi pertimbangan kepada keselamatan negara, kepentingan dan keselamatan awam serta perhatian media.

Perkara ini dapat dilihat dengan mendalam melalui kes Public Prosecutor v Zainuddin [1986] 2 MLJ 100.

Oleh yang demikian, adalah penting proses penerangan diberikan oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan Peguam Negara supaya orang ramai dapat penjelasan yang lebih tepat terdapat sesuatu kes terutamanya kes-kes yang berprofil tinggi dan yang mendapat perhatian umum dalam negara kita.

Bagi memantapkan lagi proses keadilan dan undang-undang dalam negara kita, adalah disarankan proses penerangan ini dijadikan sebagai satu polisi baru untuk pihak Jabatan Peguam Negara pada masa akan datang. – 6 September, 2023.

 

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen