Pisahkan segera Pendakwa Raya dan Peguam Negara


USAHA yang sedang diambil oleh pihak kerajaan bagi memisahkan pejabat Pendakwa Raya dengan Jabatan Peguam Negara perlu dilaksanakan dengan segera bagi memantapkan lagi sistem demokrasi dan proses undang-undang dalam negara kita.

Banyak isu yang dibangkitkan semenjak kebelakangan ini mengenai peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Ia tidak boleh lagi dibiarkan berlaku kerana boleh menjejaskan reputasi pentadbiran perundangan dalam negara kita.

Seperti yang sedia maklum, pada masa kini Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh diibaratkan bergerak sebagai satu entiti yang sama seperti yang termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi sekali semenjak merdeka.

Perkara 145 (2) dan (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas mengenai perkara ini.

Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri atau mana-mana Menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang, dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang - undang, yang dari masa ke masa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau Jemaah Menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Pada masa sama juga, Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah Syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera.

Sebarang undang-undang yang bertentangan dengan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yakni memberikan kuasa mendakwa kepada pihak lain selain Peguam Negara adalah tidak sah dan terbatal.

Ini jelas menunjukkan kepada kita kuasa besar yang dimiliki oleh Peguam Negara khususnya dalam proses pendakwaan kes di mahkamah.

Kedudukan Peguam Negara selaku Pendakwa Raya disebutkan juga secara khusus dalam Seksyen 376 (1) Kanun Acara Jenayah.

Beberapa kes mahkamah juga boleh dirujuk mengenai perkara ini seperti kes Long bin Samat v Pendakwa Raya (1974) 2 MLJ 152, yang pihak mahkamah telah putuskan bahawa pihak Pendakwa Raya ada budi bicara menetapkan apa jua pertuduhan yang difikirkannya sesuai terhadap seorang tertuduh dan mahkamah tidak ada kuasa mengganggu kuasa budi bicara tersebut.

Dalam kes itu, OKT (Orang Kena Tuduh) dituduh menyebabkan kecederaan dengan menggunakan senjata bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, walaupun ada asas bagi dia dituduh dengan kesalahan menyebabkan kecederaan parah bawah Seksyen 326 (yang membawa hukuman lebih berat jika disabitkan kesalahan).

Pihak mahkamah memutuskan bahawa bawah Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara ada budi bicara mengawal dan mengarah semua pendakwaan jenayah bukan setakat memulakan dan menjalankan mana-mana prosiding jenayah, bahkan juga memberhentikan prosiding yang telah dimulakannya.

Selain itu, pihak mahkamah menegaskan ia tidak ada kuasa mempersoal kuasa budi bicara Peguam Negara itu, apatah lagi memaksa beliau memilih pertuduhan yang lebih berat sekiranya beliau memilih pertuduhan yang lebih ringan.

Pada tahun 1991 dalam kes Karpal Singh & Yang Lain v Pendakwa Raya [1991] 1 CLJ Rep 183, pihak Mahkamah Agung telah dirujuk dengan persoalan undang-undang bagi memutuskan sama ada mahkamah mempunyai kuasa am yang sedia ada bagi mengawal prosesnya supaya tidak disalahgunakan dan untuk melindung orang yang dituduh daripada penganiayaan atau mudarat dengan membatalkan prosiding yang sia-sia.

Dalam kes ini, tertuduh telah dituduh bawah Akta Polis 1967 kerana mengambil bahagian dalam perjumpaan di tempat awam tanpa mendapat kebenaran.

Ketika menjawab persoalan undang-undang itu secara negatif, pihak mahkamah menekankan bahawa budi bicara mutlak Peguam Negara bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, sama ada untuk memulakan, meneruskan dakwaan atau sebaliknya, selain daripada prosiding didalam Mahkamah Syariah, merupakan budi bicara yang tidak boleh dicabar atau digantikan oleh budi bicara Mahkamah.

Kesimpulan yang sama mengenai kuasa besar yang dimiliki oleh Peguam negara ini juga dapat dilihat melalui banyak kes lain yang telah diputus oleh pihak mahkamah seperti kes Johnson Tan Han Seng v Pendakwa Raya [1977] 2 MLJ 66, Poh Cho Ching v Pendakwa Raya [1982] 1 MLJ 86, London County Council v Attorney General [1902] A.C 165, Peru, Jorge Enrique Pellon Tellon v Pendakwa Raya [1998] 4CLJ 278, PP v Lee Tin Bau [1985] 1 MLJ 388, PP v Datuk Harun bin Haji Idris [1976] 2 MLJ 116 dan lain-lain lagi.

Namun begitu, kedudukan pejabat Pendakwa Raya yang berada bawah Jabatan Peguam Negara seperti yang diamalkan pada masa kini boleh menyaksikan konflik kepentingan.

Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Ia dilihat boleh mewujudkan konflik kepentingan khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kakitangan atau pegawai tertinggi kerajaan.

Oleh yang demikian, wajar sekiranya usaha untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya dari Pejabat Peguam Negara dilihat secara serius oleh pihak kerajaan bagi memastikan sistem perundangan dan keadilan dalam negara tidak diragui serta mengundang persepsi negatif orang ramai. – 5 September, 2023.
 


* Dr. Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen