Isnin yang kelam, gelap dan menyedihkan


ISNIN yang kelam. Isnin yang gelap. Isnin yang menyedihkan. Ya, tarikh 4 September, 2023 Isnin menjadi saksi bagaimana undang-undang negara diperjudikan ahli politik atas nama kononnya reformasi.

Seolah-olah diatur, realitinya jelas hari ini. Setakat jam 12 tengah hari, sah Timbalan Perdana Menteri serta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendukung Perdana Menteri Anwar Ibrahim (PMX) dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan bersabit isu Yayasan Akalbudi.

Yang pelik dan ajaib adalah permohonan dibuat oleh pihak pendakwaan sendiri pagi ini di hadapan Yang Arif Hakim. Yang peliknya juga adalah pendakwaan sendiri yang memilih untuk mendakwa Zahid.

Yang pelik juga adalah pihak pendakwaan yang sama juga memanggil 99 saksi serta bicara selama 53 hari sebelum menghujahkan pertuduhan terhadap Zahid adalah utuh.

Yang pelik juga adalah pihak pendakwaan pada Januari 2022 meraikan kemenangan apabila kes prima facie didapati terhadap Zahid. Maknanya kes pendakwaan jitu dan ampuh.

Yang pelik juga adalah secara tiba-tiba setelah bertungkus lumus bawa kes terhadap Zahid, ketua pasukan pendakwaan umum mahu bersara awal.

Yang pelik juga adalah secara tiba-tiba tular memo dalaman dari Pejabat Peguam Negara bertarikh 17 Oktober, 2018, menyatakan tiada kes terhadap Zahid.

Yang pelik juga adalah PMX dan timbalannya begitu akrab berkongsi gelak tawa tepuk tampar walau kes 47 pertuduhan belum selesai. Sudahkah mereka berdua tahu penamat permainan pada masa perjanjian PMX dan TPM dipersetujui?

Akhirnya, sudah terang lagi bersuluh. Jelas cahaya di hujung terowong bagi Zahid. Cahaya disuluh penunggang reformasi.

Ya, cahaya bagi Zahid, kelam bagi Malaysia.

Wahai Rakyat, dalam beberapa hari ini akan keluarlah pelbagai pakar perundangan, bekas pendakwa raya, pensyarah undang-undang, peguam bijaksana serta peguam kanan kiri atas bawah depan belakang yang akan menyatakan kuasa ada pada peguam negara untuk dakwa, tangguh, tunda, henti pendakwaan.

Cuma ingatlah segala kepelikan yang dinyatakan sebelum ini, dan ingatlah bahawa Isnin 4 September, 2023 adalah hari sedih Malaysia. Permainan politik berpedangkan reformasi. – 4 September, 2023.

* Rafique Rashid adalah ketua penerangan Pejuang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen