Awas dengan Melayufobia dan Islamofobia dalaman?


GEJALA ekstremisme yang begitu bersemarak ketika Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah melahirkan kebimbangan akan ledakan fahaman Islamofobia dalaman dan Melayufobia di negara ini.

Sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, ancaman daripada gelombang Melayu hijau semakin berkembang dan sedang mempengaruhi pengundi-pengundi Melayu di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung.

Tidak keterlaluan jika dikatakan perebakan viral ekstremisme memperlihatkan pengwajahan atau imej retorik palsu akan Islam yang terancam dan kehilangan kuasa politik Melayu yang akan membawa kepada desosialisasi geopolitik besar ke atas tubuh bangsa ini.

Namun ekstremisme yang dimaksud di sini tidaklah bersifat kekerasan fizikal (senjata atau kekerasan seperti ISIS ) atau hard extremism tetapi ia lebih kepada soft extremism atau ekstremisme lunak yang merangkumi penggunaan perkataan-perkataan berlawan atau oposisi binari seperti Islam-kafir, Melayu-bukan Melayu,  dan syurga-neraka umpamanya sehingga menciptakan kesedaran palsu dalam kalangan mereka yang meyakininya.

Setiap tindakan pihak pelampau diilusikan sebagai penyelamat agama, bangsa dan munasabah.

Ekstremisme lunak adalah penciptaan berbagai citra, imej, imaginasi dan pengawajahan palsu tentang Kerajaan Perpaduan dalam hubungannya dengan agama, bangsa dan negara.

Jika diteliti sikap ekstremisme yang dilaksanakan ia menciptakan tanda-tanda pencitraan, ilusi atau pengwajahan lunak kepada rakyat bahawa Kerajaan Perpaduan sebagai musuh kepada agama dan bangsa.

Kelunakan ini ialah pada ayat-ayat, perkataan-perkataan, bandingan-bandingan yang merupakan imaginasi jika menang pilihan raya.

Keadaan sebegini akan mengukuhkan lagi tanggapan bukan Islam di negara ini akan gambaran buruk Islam dengan kefanatikan agama dan keunggulan bangsa Melayu sebagai ketuanan di negara ini yang merupakan satu falasi yang diperwajahkan oleh rasisme bangsa dan pelampau agama.

Melalui dakyah ekstremisme lunak, tanggapan salah orang bukan Islam tentang imej, pengwajahan Islam yang palsu dan direka-reka Barat sejak peristiwa 11 September 2001 akan diperkukuhkan.

Bahkan kalangan bukan Melayu dan golongan Melayu aliran sederhana akan lebih risau jika pengaruh Melayuisme, iaitu fahaman ekstremisme rasisme ketuanan Melayu yang bersemarak itu  menang dalam pilihan raya.

Dalam hubungan ini media sosial menjadi pentas dakyah dan indoktrinasi ekstremisme lunak dipropaganda  akan ancaman terhadap Islam dan kelemahan politik Melayu dikuasai bangsa lain.

Oleh yang demikian, gejala ekstremisme di negara ini tidak dapat dipisahkan daripada media maklumat seperti laman sesawang, media sosial, blog dan podcast umpamanya yang merupakan jaringan dalam Internet.

Ini kerana di dalamnya beroperasi mekanisme pemaksaaan lunak (seolah-olah tiada pilihan seperti syurga atau neraka dan kuasa ekonomi dan politik Melayu lawan kuasa ekonomi dan politik bukan Melayu yang citrakan akan semakin terhakis) dan licik yang melaluinya orang Melayu dan masyarakat Islam khususnya akan dibawa ke arah jebakan keharusan dalam mempercayai wacana citra dan ilusi yang diciptakan dan seterusnya akan mematuhinya pada peringkat hubungan sosial.

Ekstremisme lunak akan melebarkan jurang perbezaan kaum kononnya membentuk kaolisi ‘Bangsa Melayu’ dan menjarakkan diri mereka dari kaum lain melalui kempen meniup sentimen api perkauman dan agama yang ekstrim.

Amat dibimbangi permainan ektremisme lunak akan mengsasarkan ke jantung bangsa dalam menzahirkan pemaknaan tentang mana yang lebih Islam dan mana yang lebih Melayu secara sempitnya.

Apa yang berkembang dalam masyarakat maklumat adalah tanda-tanda dan tontonan melalui media sosial umpamanya seperti tanda kekalahan kerajaan perpaduan pada masa akan datang ekoran kemenangan di kawasan Melayu utara Selangor contohnya.

Melalui tontonan di media maklumat, suatu rangka citra, makna atau bayangan tentang kemenangan oleh parti dan gabungan parti pada PRN atau PRU akan datang, sesuatu yang akan diukur melalui pilihan kecil kecil akan datang di Pahang dan Johor.

Oleh itu dari masa ke masa apabila adanya PRN, PRU, atau pilihan raya kecil oleh kematian Adun dan Ahli Parlimen dan isu-isu semasa berkaitan dengan Melayu dan Islam muncul mesin-mesin fikiran melalui media sosial diputarkan dalam menjayakan projek ekstremisme lunak ini.

Perbezaan kaum dan agama akan dijadikan senjata memperolehi sokongan dan tontonan besar penonton dengan menaikkan rasa cemburu, syak wasangka dan rasa takut dalam jiwa masyarakat Melayu terhadap kewujudan dan penguasaan kaum lain melalui dalil agama.

Jika orang Melayu menyokong mereka dianggap mendukungi Islam dan bersama bangsa. Sebalik jika tidak mereka dianggap menentang Islam,  bersama kafir harbi dan khianat dan memusuhi bangsa sendiri. Melalui ekstremisme lunak ini kaum Melayu yang diharap menyokong dan mengundi mereka.

Ekstremisme lunak melalui proses indoktrinasi takfiri dan ideologi ghuluw atau pelampau kaum yang merbahaya ini boleh merentakkan hubungan kaum dan keharmonian penduduk berbilang kaum di negara ini dan membawa pemisahan sosial antara negeri-negeri di Semenanjung apalagi konflik sosial di Sabah dan Sarawak.

Kelunakan ekstremisme ini akan berjaya mempengaruhi mereka yang jahil dan tidak literasi media kerana ia dilakukan melalui pengaburan maklumat dan pengkelabuan realiti sehingga dengan sengaja mencetuskan kepanikan dalam kalangan anak bangsa bahawa ketuanan dan kedaulatan Melayu diancam oleh bukan Melayu dan pemerintah tidak memperjuangkan Islam.

Melalui media sosial ia telah membawa kepada fitnah terbuka yang menimbulkan konotasi Islam diancam, kecurigaan akan mereka yang bukan Melayu dan tuduhan segara kepada yang tidak bersama mereka sebagai musuh Islam dan bangsa misalnya.

Fitnah berbentuk teks terbuka di alam maya dikenali sebagai virtual extremism dan pelakunya dikenali virtual extremist kerana mereka telah menghasilkan suatu jenayah sempurna atau prefect crime iaitu penggelapan dan pemerkosaan realiti di alam maya.

Suatu realiti kejahatan yang menyembunyikan dirinya secara sempurna di sebalik pengwajahan dan menuding kejahatan pihak lain kononnya dilakuka di duinia virtual sehingga kejahatan yang mereka lakukan tidak kelihatan kerana tenggelam dalam gemerlapan visual dan seolah-olah sukar dibuktikan dan dibongkarkannya.

Ini kerana banyak fakta sudah diputar belit dan dimanipulasikan sehingga mengaburkan antara yang hak dan batil seterusnya menciptakan realiti palsu atau realiti tiruan yang melampau.

Dalam hubungan ini jika dibiarkan ekstremisme lunak bermaharajalela terdapat tiga perkara penting yang harus direnungi bagi mengekalkan perpaduan kepada tubuh negara ini.

Pertama, pepecahan geopolitik sosial agama dan bangsa dalam kalangan bangsa sendiri dan kebimbangan kaum lain di negara ini  contohnya merebaknya fahaman kemerdekaan sempit serta fahaman Islam sehala dan hak ketuanan Melayu dan kelemahan Melayu dari segi ekonomi.

Tindakan segelintir negeri yang mahu menggunakan tema mereka sendiri bagi sambutan Hari Kebangsaan/Merdeka pada tahun ini memperlihatkan pepecahan geopolitik negeri bersandarkan fahaman politik pelampau. 

Ia akan membawa pepecahan kalangan orang Melayu tentang erti merdeka itu sendiri yang merupakan suatu gangguan ke atas kesejahteraan penghidupan bangsa dan negara.

Kedua, terputusnya hubungan sosial iaitu rantai-rantai hubungan sosial antara agama, kaum, suku dan ras yang sebelum ini menyatukan komponen-komponen hubungan masyarakat yang majmuk melalui hubungan kekerabatan, kekeluargaan, persabahatan dan saling toleransi. Ekstremisme lunak akan melonggar dan merungkaikannya.

Akhir sekali ialah nyah wilayah atau deterritorialism iaitu sebuah proses sosial pemecahan wilayah agama dan kaum yang dipersaksikan melalui PRU15 dan PRN baru-baru ini dalam peta geopolitik sosial Semenanjung.

Kemenangan tiga negeri, dua di pantai timur dan sebuah di utara Semenanjung yang mengukuhkan geopolitik Melayu konservatif. Ia membentuk geopolitik wilayah sendiri sehingga tafsiran kemerdekaan dibuat bersandarkan kaca mata mereka.

Ia menandakan kelompok-kelompok masyarakat dalam lingkungan geopolitik keras ini akan mengembangkan pengaruh ke kawasan geopolitik sosial lain dengan menggugat dan mengecilkan peta wilayah politik, ekonomi dan sosial dalam merebut penguasaan ruang sosial yang lebih besar yang melibatkan minda, jiwa dan fikiran.

Apa yang sedang berlaku di tengah masyarakat Melayu sekarang ialah bentuk Melayufobia dan Islamofobia dalaman oleh melalui dakyah Islam dan Melayu ekstrim yang ingin menguasai wilayah pemikiran, jiwa dan hati dalam memperluas dan mengembangkan daerah kekuasaan geopolitik sosial dan bangsa.

Di samping perjuangan Islamofobia di luar negara, cabaran Melayufobia dan Islamofobia dalaman ke atas kalangan orang bukan Islam dan Melayu yang berfikiran sederhana di negara ini harus ditangani. Media, instituisi agama dan organisasi Melayu harus memainkan peranan dalam mengatasi gejala ekstremisme lunak.

Ini cabaran besar Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam mengekalkan kemerdekaan negara. – 4 September, 2023.

 

* Ismail Hashim Yahaya, pembaca TMI.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen