2 maut dalam insiden tembakan di Kanada 


DUA orang terbunuh dan enam lagi cedera dalam satu kejadian tembakan di tempat letak kereta di tempat penerimaan tetamu pada satu majlis resepsi perkahwinan di Ottawa pada Sabtu, kata pihak berkuasa.

Dua majlis perkahwinan sedang berlangsung di tempat kejadian apabila berlaku tembakan di luar, menyebabkan tetamu yang terkejut cuba untuk menyelamatkan diri.

“Ia huru-hara, tidak ada arah tuju ke mana orang ramai lari, untuk selamatkan diri,” kata saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Nico, yang datang ke majlis perkahwinan untuk menjemput rakannya.

“Ia adalah tembakan rambang, dan kemudian ada jeritan, dan kemudian keadaan sunyi, dan kemudian terdapat lebih banyak tembakan, mungkin seperti 15-16 tembakan yang boleh saya ingat,” kata Nico.

Tembakan bermula pada 10:21 malam Sabtu di tempat letak kereta dewan konvensyen di mana dua majlis perkahwinan berasingan diadakan serentak.

“Polis arahkan kami untuk kekal di dalam kenderaan. Kami tidak boleh meninggalkan tempat kejadian,” kata saksi.

Polis Ottawa mengesahkan dua lelaki berusia 26 dan 29 maut, kedua-duanya berasal dari Toronto, bandar terbesar di Kanada.

Menurut polis, enam rakyat Amerika antara yang turut cedera tetapi nyawa mereka tidak dalam bahaya. Identiti mereka tidak didedahkan.

“Kami sedang dalam proses menyiasat kejadian itu,” kata inspektor polis, Martin Groulx, kepada AFP mengenai siasatan yang sedang dijalankan.

Beliau berkata polis tidak mempunyai sebarang petunjuk buat masa ini untuk mencadangkan tembakan itu adalah jenayah kebencian “berkaitan dengan kepercayaan kaum atau agama.”

“Tetapi kami tidak menolak kemungkinan ini,” katanya sambil menyatakan bahawa siasatan masih belum menentukan motif.

Sehingga petang Ahad, tiada tangkapan dibuat. – AFP, 4 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen