Kebakaran hutan barat Kanada paksa ribuan penduduk berpindah 


Asap tebal menyelubungi ruang udara kawasan hutan yang terbakar di barat Kanada. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2023.

KEBAKARAN hutan yang melanda barat Kanada semakin merebak pada Ahad apabila dua kebakaran bergabung dan memaksa ribuan penduduk berpindah.

Kebakaran yang merebak pantas itu mengancam sebahagian besar Lembah Okanagan yang indah, termasuk bandar Kelowna, British Columbia.

Situasi di destinasi berperahu dan mendaki yang popular itu “sangat dinamik,” kata Menteri Pengurusan Kecemasan British Columbia, Bowinn Ma.

“Jangan pergi ke kawasan yang dilanda kebakaran di wilayah itu untuk pelancongan,” tambahnya.

Kira-kira 30,000 orang berada di bawah arahan pemindahan manakala 36,000 lagi berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berpindah, katanya.

Kelowna, sebuah bandar dengan 150,000 penduduk, dilitupi asap tebal selepas menjadi salah satu kawasan yang dilanda kebakaran hutan yang merebak pantad di Kanada pada musim panas ini.

“Adalah mengerikan untuk menghabiskan minggu dengan keadaan udara seperti ini. Sungguh sukar untuk bernafas,” kata seorang pekerja IT berusia 29 tahun, Mary Hicks.

Beliau yang berasal dari Montreal melancong ke kawasan wilayah terbabit.

“Saya benar-benar mahu pulang,” katanya. 

Namun beliau terperangkap buat masa ini, kerana penerbangannya dibatalkan. Lapangan terbang itu berharap untuk menyambung semula penerbangan minggu ini, bergantung pada jarak penglihatan. – AFP, 21 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen