Iraq tarik balik perintah berkurung di Kirkuk lepas situasi pulih


Pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa kawasan bandar Iraq selepas perintah itu ditarik balik. – Gambar AFP, 4 September, 2023.

PIHAK berkuasa Iraq pada Ahad menarik balik perintah berkurung yang dikenakan sehari sebelumnya di bandar Kirkuk, utara Iraq selepas situasi kembali pulih.

Bantahan dan pertempuran Sabtu lalu di Kirkuk melibatkan puak Kurdis, Arab dan Turkmen mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan 20, termasuk beberapa anggota keselamatan, Saad al-Baiyati, seorang pegawai polis Kirkuk, memberitahu Xinhua.

“Keadaan keselamatan di wilayah itu kini stabil, manakala pasukan keselamatan dikerah ke jalan-jalan utama dan persimpangan,” kata al-Baiyati, sambil menambah penunjuk perasaan Arab dan Turkmen mengalihkan khemah mereka dan membuka jalan utama antara Kirkuk dan Erbil, ibu kota wilayah Kurdistan.

Pertempuran Sabtu itu adalah yang terbaharu dalam siri ketegangan antara Kurdis, Arab dan Turkmen di Kirkuk. – Bernama, 4 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen