TENTERA Amerika Syarikat (US) dan Perancis sudah mula memindahkan rakyatnya keluar dari Sudan susulan pertempuran antara tentera dan kumpulan separa tentera di negara itu yang sudah memasuki minggu kedua.
Pertempuran yang berlarutan itu menyaksikan jet pejuang melancarkan serangan udara dan di jalanan yang meragut lebih 400 nyawa dan ribuan lagi cedera.
Presiden Joe Biden mengesahkan beliau mengarahkan pasukan tenteranya untuk memindahkan kakitangan dari Kedutaan Amerika di Khartoum, Sudan.
Terdahulu, pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF) berkata mereka melakukan koordinasi dengan Misi Angkatan Tentera AS yang turut membabitkan enam pesawat bagi memindahkan diplomat AS dan keluarga mereka pada pagi Ahad.
“Ini mesti dihentikan,” kata Biden yang mengutuk pertempuran itu dalam satu kenyataan, pada Sabtu.
Sementara Perancis pada Ahad turut melancarkan operasi memindahkan rakyatnya dari negara timur laut Afrika tersebut.
Kementerian Luar Perancis pada Ahad berkata, ‘operasi pemindahan segera’ sudah bermula dan rakyat Eropah serta ‘negara rakan sekutu’ akan dibantu namun tidak memberikan butiran lanjut. – AFP, 23 April, 2023.
Komen