Memahami Malaysian Malaysia DAP


SETIAUSAHA Agung DAP, Loke Siew Fook menyatakan DAP tidak perlu menggugurkan slogan Malaysian Malaysia kerana komitmen parti itu mendukung prinsip Islam agama rasmi, bahasa Melayu, dan Perkara 153 Perlembagaan sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan.

Maka menurut beliau, tiada keperluan untuk partinya menggugurkan slogan Malaysian Malaysia.

Kita sekarang sudah boleh mengesahkan bahawa agenda Malaysian Malaysia ini benar-benar menjadi agenda DAP. Saya sedikit kagum kerana sebelum ini ketika saya menjadi ahli parti itu, DAP berusaha untuk menjauhkan diri dari persoalan mengenai agenda Malaysian Malaysia ini.

Namun kini berubah, hari ini DAP sudah berani mengakui secara terang-terangan malah enggan tunduk pada desakan untuk melepaskan agenda Malaysian Malaysia. Apa sebabnya?

Jawapannya agak sederhana iaitu, kerana hari ini mereka sudah yakin bahawa pengaruh politik DAP sudah benar-benar kuat sebagai sebuah kerajaan. Maka, apa saja yang ditegaskan, boleh diurus dengan lebih baik berbanding sebelum ini.

Apa makna agenda Malaysian Malaysia? Jawapan ini ada pada perlembagaan DAP.

Dari 18 isi Fasal II Matlamat parti yang mendukung agenda Malaysian Malaysia, beberapa fasal perlu dinilai betul-betul untuk kita fahami dengan lebih mendalam selera politik parti ini. Fasal ini ada teras kepada kewujudan DAP.

Fasal 1 dinyatakan dengan jelas “berlandaskan nilai demokrasi sosial”, namun ramai yang tidak memahami konsep demokrasi sosial ini. Namun pada umumnya untuk mudah memahaminya, konsep demokrasi sosial ialah perkahwinan antara dua ideologi iaitu sosialisme dengan kapitalisme.

Contoh yang boleh dijadikan rujukan ialah negara China, yang kini pesat membangun ekonomi dengan hagemoninya. Dan Singapura, juga membangun ekonominya dengan sebuah identiti yang baharu.

Fasal 2 juga dengan jelas menyatakan “memulihkan Perlembagaan Malaysia kepada rangka kerja sekular yang asal”.

Maksud “sekular” bagi DAP ialah makna sekular yang hakiki iaitu pemisahan antara faham agama dalam dasar dan rutin pentadbiran negara. Sekular dalam sebuah konteks, memerlukan perbincangan yang panjang, namun itulah prinsip asas “sekular” yang sebenar yang difahami dan mahu diamalkan oleh DAP.

Perkara yang sama wujud dalam fasal 3, 4, 9, 10 dan 11. Semua ini berasaskan nilai “sekular” dari perspektif DAP iaitu kebebasan (liberal) dan merit.

Justeru, apakah manifestasi Malaysian Malaysia yang kita boleh lihat ketika ini?

1. Pada 2014, pemimpin DAP Ngeh Koo Ham menyatakan pendirian bahawa hak untuk murtad patut diberikan kepada orang Islam dan kenyataan itu tidak pernah ditarik balik hingga kini.

2. Pada April 2019, senator daripada DAP, Nga Hock Cheh menggesa pengguguran status kaum termasuk Islam pada MyKad, kononnya atas dasar mewujudkan identiti nasional.

3. Pada Ogos 2020, [pemimpin DAP mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan.

4. Pada April 2021, Buku ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ yang ditulis bekas ahli DAP Dr Hew Kuan Yau diedar di sekolah tanpa kebenaran Kementerian Pendidikan.

5. Pada Februari 2023, bekas ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy desak Anwar Ibrahim pecahkan dominasi Melayu dalam sektor awam. Sungguhpun Ramasamy dakwa kenyataannya diputar belit, hingga kini tiada apa-apa tindakan diambil malah Anwar menyatakan bahawa apa yang dikatakan oleh Ramasamy itu bukan satu isu.

6. Pada Julai 2023, Pengerusi DAP Lim Guan Eng mendakwa gelombang hijau bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang sekiranya parti lawan itu menang Pilihan Raya Negeri (PRN).

7. Pada November 2023, Nga Kor Ming ketika kempen PRU15 menyifatkan gabungan Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan Taliban hanya kerana ketegasan PAS dalam mengawal aktiviti maksiat.

8. Pada Oktober 2022, Tan Sri Lim Kit Siang menyebut Malaysia tidak memerlukan Ketuanan Melayu, sebaliknya hanya perlukan Ketuanan Malaysia.

Ini sebahagian manifestasi Malaysian Malaysia yang sudah mula dicuba. Bagi saya, ini adalah pengenalan kepada Malaysian Malaysia.

Ada yang berhujah bahawa, isu-isu yang menjadi kontroversi ini, bukanlah perkara utama malah ia remeh dan sengaja diperbesar-besarkan.

Jika demikian hujahnya, justeru mengapa DAP membiarkan perkara-perkara yang dianggap remeh, yang menjejaskan imejnya, terus dibiarkan berlaku dan membiarkan orang-orangnya memprovokasi perkara ini dalam masyarakat?

Bagi saya, inilah manifestasi budaya yang akan dibawa oleh Malaysian Malaysia. Perkara remeh ini akan muncul lagi malah akan mencabar teras dan identiti nasional negara ini.

Saya mahu hurai satu lapisan lagi mengenai Malaysian Malaysia ini. Saya ambil satu juzuk sahaja dari beberapa juzuk rancangan yang dalam agenda Malaysian Malaysia ini iaitu sistem merit.

Jika dasar ini mahu dilaksanakan, perkara pertama perlu dilakukan ialah dengan meminda terma di dalam perlembagaan persekutuan yang mana telah digazetkan untuk kuota bumiputera dalam sektor pekerjaan awam dan pendidikan.

Isu kuota ini berlawanan dengan dasar meritokrasi yang berpaksikan kepada kebolehan dan keperluan semata-mata. Maka kerana itu dasar kuota bumiputera ini perlu dipinda jika mahu malaksanakan dasar merit.

Maka persoalan ini akan berkait dengan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Jika kita bersedia untuk menghapuskan sistem yang telah sedia ada dalam perlembagaan, maka barulah agenda Malaysian Malaysia boleh dilaksanakan dengan tuntas.

Justeru, adakah rakyat Malaysia mahu Malaysian Malaysia tajaan DAP ini? Tepuk dada tanya selera. – 3 September, 2023.

 

* Mahdzir Ibrahim merupakan pemimpin Sekretariat Tanah Air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen