Bukan sekat kebebasan media tapi tegakkan integriti maklumat, kata SKMM


SKMM menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa saluran berita bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang kurang tepat. – Gambar EPA, 2 September, 2023.

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menegaskan tindakan yang diambil terhadap beberapa saluran berita bukan untuk menyekat kebebasan media tetapi bagi memastikan penyebaran maklumat dilakukan secara bertanggungjawab, tanpa menyebarkan fitnah atau maklumat yang kurang tepat.

MCMC dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, sebagai badan kawal selia untuk industri komunikasi dan multimedia di Malaysia, suruhanjaya itu bertindak di bawah peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).

“Satu daripada Matlamat Dasar Kebangsaan SKMM ialah untuk memberikan perlindungan kepada rakyat Malaysia daripada kandungan dalam talian yang memudaratkan termasuk maklumat kurang tepat dan ucapan berbaur kebencian serta melindungi integriti Raja Berpelembagaan dan institusi demokrasi dengan pernghormatan daripada sebarang percubaan untuk mencetuskan kebencian atau penghinaan,” menurut kenyataan itu.

SKMM memaklumkan demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan terbuka oleh Reporters Without Borders (RSF) bertajuk “RSF denounces arbitrary suspension of news websites critical of the government” semalam.

Menurut SKMM satu daripada tanggungjawab utama suruhanjaya itu ialah untuk mencegah penyalahgunaan platform dalam talian untuk melakukan kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

“Dengan peningkatan penyebaran maklumat dalam talian, terdapat peningkatan dalam pelaporan yang tidak bertanggungjawab dan tidak tepat. Beberapa saluran berita didapati dengan sengaja menyebarkan maklumat mengelirukan ataupun menerbitkan kandungan yang tidak tepat, yang boleh mengancam keharmonian masyarakat.

“Untuk menangani isu-isu ini, SKMM mempunyai autoriti dan kewajipan untuk mengambil tindakan kawal selia terhadap penyebaran maklumat palsu, kandungan jelik dan mengancam,” menurutnya.

Menurut SKMM, pihaknya terbuka untuk berdialog dan sering mengadakan sesi libat urus dengan editor kanan dan wartawan untuk menangani kebimbangan serta isu berkaitan kebebasan bersuara selain berhasrat untuk bekerjasama dengan pihak media bagi memerangi peningkatan maklumat kurang tepat dan palsu yang berniat jahat. – Bernama, 2 September, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen