PRN: Kempen secara beradab, elak hina, fitnah, kata menteri agama


Mohd Na'im berkata calon-calon perlu menumpukan terhadap polisi dan dasar yang ditawarkan kepada pengundi dan memastikan ia dipenuhi untuk kesejahteraan rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2023.

CALON pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri dinasihatkan agar menjaga adab dan mengelak menghina orang lain ketika berkempen, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata mereka juga perlu menjauhkan perbuatan memfitnah ketika berkempen apatah lagi perbuatan yang boleh memecah-belahkan perpaduan negara ini.

“Allah sendiri mengharamkan mana-mana pihak menghina kaum dan manusia yang lain. Dalam konteks ini (PRN) calon-calon boleh berbeza pendapat, politik dan ideologi namun perlu menjauhkan perbuatan menghina dan memecah-belahkan kaum negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas simbolik penyerahan bantuan perumahan Inpsirasiku MyHaus di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Taiping, hari ini.

Katanya, para calon sebaliknya perlu menumpukan terhadap polisi dan dasar yang ditawarkan kepada pengundi dan memastikan ia dipenuhi untuk kesejahteraan rakyat.

Semalam menyaksikan penamaan calon 245 kerusi bagi PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang menandakan bermulanya kempen sehingga menjelang hari pengundian yang ditetapkan pada 12 Ogos depan. – Bernama, 30 Julai, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen