China: Antara retorik dan realiti


SIRI rampasan kuasa di Mali, Guinea, Burkina Faso, Chad dan Niger, dan terkini di Gabon menyaksikan penglibatan Russia sebagai “tuan baharu” di rantau Afrika Barat.

Di rantau Asia Timur di perairan Laut China Selatan, China ingin menunjukkan kuasanya sebagai “maharaja baharu” apabila Peta Standard China Edisi 2023 yang dikeluarkan Kementerian Sumber Asli negara itu menggabungkan kawasan yang dipertikaikan, termasuk tuntutannya ke atas Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

Berikutan pelepasan peta standard untuk kegunaan awam, Kementerian Sumber Asli China dilaporkan akan mengeluarkan ‘peta digital dan navigasi dan kedudukan’ untuk digunakan dalam pelbagai bidang termasuk ‘perkhidmatan berasaskan lokasi, pertanian tepat, ekonomi dan kenderaan bersambung pintar’.

Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata Peta Standard China Edisi 2023 itu yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Tegasnya, Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

“Malaysia secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara kita berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.”

Ini agak bertentangan dengan naratif China sebagai kuasa lunak yang tidak mengemukakan ancaman kepada kedaulatan negara-negara di Asia Tenggara di samping menyediakan peluang ekonomi kepada negara-negara tersebut khususnya negara anggota Asean.

China dengan prinsip “keamanan menerusi pembangunan” ingin mewujudkannya sebagai amalan sejagat yang bertentangan dengan “keamanan liberal” yang mendominasi perhubungan antarabangsa naungan Barat yang dipenuhi konflik. Malah kejayaan China membawa kepada termeterai hubungan baik antara Arab Saudi-Iran amat dialu-alukan.

Konsep multipolariti China dengan semangat setia kawan dan memberikan kedaulatan kepada negara bangsa daripada dominasi kuasa unipolar Amerika Syarikat (AS) adalah sesuatu yang membawa kebaikan kepada kemanusiaan sejagat.   

Malah Menteri pertahanan China Jeneral Li Sangfu (Sesi Plenari Kelima 4 Jun 2023) semasa membentangkan kertas kerja di Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-20 di Dialog Shangri-la membayangkan kepada negara-negara Asia Pasifik mengenai kemakmuran bersama yang dikongsi dalam wilayah geografinya. 

Dalam hubungan ini Sangfu berkata China sebagai negara yang mempertahankan status quo menghormati undang-undang dan norma antarabangsa yang mengawal selia perhubungan antarabangsa berdasarkan Prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan berhujah sesetengah negara hanya menggunakan pendekatan terpilih kepada peraturan dan undang-undang antarabangsa.

Secara retoriknya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyetujui Inisiatif Belt dan Road China itu.

Beliau berkata, “Menterjemahkan cita-cita tinggi kepada realiti praktikal, perpaduan dan kerjasama adalah contoh terbaik dalam merealisasikan Inisiatif Belt and Road.

“Dengan pandemik di belakang kita, kita harus cuba mendapatkan semula momentumnya,” katanya ketika ketika berucap dalam sesi pleno BFA 2023 yang bertemakan ‘Ketidaktentuan Dunia: Perpaduan dan Kerjasama untuk Pembangunan Di Tengah Cabaran’ di Hainan pada Mac lalu.

Bahkan Malaysia dan China bersetuju untuk memantapkan dan membawa  hubungan dua hala kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi, dipacu dengan kerjasama lebih mendalam dan bermakna dalam pelbagai aspek.

Anwar berkata kerjasama strategik ini merangkumi antaranya bidang politik, perdagangan dan pelaburan. 

Adakah naratif konsep perkongsian bersama dalam wilayah geografi seperti yang disebut Sangfu itu dan ditakrifkan sebagai"Komuniti Masa Depan Bersama untuk Umat Manusia” dan perkongsian strategik ekonomi Laut China Selatan boleh membawa  maksud lingkungan pengaruh dominasi  wewenang “maharaja China” yang baharu?  

Ini adalah sesuatu yang harus dibimbangi, adakah ia sebagai sebutan retorik dengan niat udang di sebalik atau manis di mulut lain di hati. 

Kedua, kertas konsep Inisiatif Keselamatan Global (GSI) yang dikemukakan Presiden China Xi Jinping pada April tahun lalu merujuk kepada komitmen memegang konsep keselamatan yang komprehensif, bersifat bekerjasama dan mampan, serta menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah negara lain harus juga diteliti.

Walaupun GSI dari segi konsep yang dipaparkan di atas tidak menyebut AS dan sekutu Barat sebagai musuh tetapi secara tidak langsung GSI seolah-olah merupakan saingan kepada NATO dan AUKUS yang memperlihatkan sikap antagonistik antara satu sama lain.  

Apa yang perlu keprihatinan Malaysia ialah bukannya naratif tetapi jurang antara retorik dan realiti. Sebagai kuasa besar, China berupaya mengamalkan sikap berat sebelah seperti yang diamalkan kuasa besar Barat selama ini . 

Ia dapat dilihat melalui Peta Standard China Edisi 2023. China seolah-olah tidak faham dengan kebimbangan, kedudukan dan sensitiviti negara anggota Asean yang perlu keseimbangan persaingan kuasa besar di LCS. 

Keadaan ini akan membawa beberapa negara seperti Filipina mengadakan kerjasama pertahanan dan keselamatan yang lebih kukuh dengan AS berikutan ancaman China itu.

China gagal untuk memahami keharmonian,  kerjasama dan sifat kejiranan negara anggota Asean yang terjalin selama ini. Tindakan China ini akan meretakkan hubungan negara anggota Asean. 

China sering menggunakan sifat ingin berbaik-baik dan diam negara anggota Asean sebagai kesempatan untuk dirinya menunjukkan kuasa di rantau Laut China Selatan. – 1 September, 2023.

* Ismail Hashim Yahaya, pemerhati isu-isu kritikal antarabangsa .

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen