Jepun akan guna mekanisme WTO berhubung sekatan import makanan laut


Jepun akan menggunakan mekanisme dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk bertindak balas terhadap larangan import makanan laut oleh China. – Gambar AFP, 30 Ogos, 2023.

JEPUN akan menggunakan mekanisme dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) untuk bertindak balas terhadap larangan import makanan laut oleh China susulan pelepasan air terawat daripada loji nuklear (NPP) Fukushima, kata Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno pada Rabu, lapor Sputnik.

Agensi Berita Kyodo semalam melaporkan Tokyo sedang memikirkan kemungkinan memfailkan tuntutan mahkamah dengan WTO dan mengambil tindakan lain sebagai tindak balas terhadap larangan import makanan laut oleh China itu.

“Tindakan itu tidak boleh diterima. Kami akan mempertimbang pelbagai pilihan dan mengambil tindakan yang perlu dalam WTO,” kata Matsuno pada taklimat akhbar.

Jepun mula melepaskan sisa air terawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik pada 24 Ogos, setelah mencairkannya dengan air laut terlebih dahulu.

Sebagai tindak balas, pihak berkuasa kastam China mengumumkan penggantungan semua import makanan laut dari Jepun.

Keputusan Jepun untuk melepaskan air tercemar nuklear itu ke Lautan Pasifik dikritik China yang bimbangkan pencemaran radioaktif dengan Beijing menuntut Jepun menghentikan “perbuatan salah” tersebut.

Sementara itu Agensi Tenaga Atom Antarabangsa berkata sisa air yang dirawat itu hanya mempunyai kesan radiologi yang sangat kecil kepada manusia dan alam sekitar. – Bernama, 30 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen