Covid-19 ‘serang’ kampung nelayan, harga makanan laut dijangka naik, kata pemain industri


Khoo Gek San

Harga makanan laut dijangka meningkat di Lembah Klang susulan penularan Covid-19 di perkampungan nelayan Bagan Sungai Besar, Sabak Bernam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2021.

LEBIH 50 nelayan di perkampungan nelayan Bagan Sungai Besar di Sabak Bernam, Selangor tidak dapat ke laut selepas didapati positif Covid-19, sekali gus menimbulkan kebimbangan harga makanan laut akan bertambah mahal di Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, kata pemain industri.

Penduduk tempatan berkata jumlah kes mungkin meningkat dalam beberapa hari akan datang susulan ujian saringan besar-besaran di kampung tersebut dan Sekinchan, bakal menyebabkan bot nelayan tersadai lebih lama.

Pakar industri berkata harga makanan laut akan meningkat berikutan bot tidak dapat keluar ke laut untuk tempoh lebih dua minggu.

Pada 21 Julai, dilaporkan jangkitan Covid-19 dikesan dalam kalangan nelayan di kampung tersebut. Susulan itu, lebih 1,000 orang, termasuk pemilik bot nelayan, pekerja dan penduduk kampung disaring dengan virus tersebut.

Setakat ini, hasil saringan menunjukkan 50 individu positif, majoriti pekerja asing dan dua penduduk tempatan.

Presiden Persatuan Awam Industri Ikan Malaysia Chia Tian Hee memberitahu The Malaysian Insight nelayan di Sekinchan turut akan disaring berikutan kawasan itu berhampiran Bagan Sungai Besar.

Katanya, nelayan Sekinchan akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sementara pihak berkuasa akan menghalang orang luar mengunjungi kedua-dua kawasan tersebut.

“Terdapat sekitar 200 bot nelayan di Sekinchan dan 100 di Bagan Sungai Besar. Hasil tangkapan utama di Bagan Sungai Besar adalah ikan kembung,” kata Chia.

Katanya, setakat ini masih belum dikenal pasti lagi sumber virus namun akhir-akhir ini, katanya terdapat banyak kenderaan yang tidak dikenali masuk ke Sekinchan dan Bagan Sungai Besar.

Bagi mencegah penularan virus, penduduk tempatan diminta melaporkan kenderaan yang tidak dikenali di kawasan itu.

Chia berkata, nelayan di Sekinchan kini bekerja sama memastikan tidak ada lagi Covid-19 di daerah itu.

Sementara itu, ketua kampung Bagan Sungai Besar, Sia Chock Shung berkata pada 21 Julai lalu dua pekerja asing yang bekerja di sebuah bot nelayan didapati demam.

Pemilik bot berkenaan membawa mereka untuk disaring dan apabila didapati positif, perkara itu terus dilaporkan kepada pejabat kesihatan kampung.

“Susulan itu, semua nelayan dan pekerja asing buat ujian saringan di hospital kerajaan. Sebanyak 50 individu didapati positif daripada 1,000 yang disaring.

“Kami masih tunggu keputusan selebihnya. Saya percaya jumlah kes akan bertambah,” kata Sia.

Katanya, Kementerian Kesihatan dimaklumkan tentang keadaan itu dan menasihati mereka yang negatif agar membuat ujian saringan sekali lagi dalam tempoh seminggu bagi mendapatkan kepastian.

“Pejabat kesihatan kampung memberikan gelang putih kepada pemilik dan pekerja bot untuk memastikan mereka mengasingkan diri.”

Apabila penduduk kampung lain tahu berkenaan penularan wabak dalam kalangan nelayan, Sia berkata mereka terpaksa duduk di rumah sementara kedai ditutup buat sementara waktu.

“Orang kampung ada disiplin. Setakat ini, tidak ada wakil rakyat yang tawarkan bantuan kepada kami,” katanya. – 25 Julai, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen