Pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen di peringkat kedua, kata Wan Junaidi


Yang Dipertua Dewan Negara Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pelaksanaan pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 kini berada di peringkat kedua bagi proses merangka kertas kerja Kabinet. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2023.

PELAKSANAAN pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 kini berada di peringkat kedua bagi proses merangka kertas kerja Kabinet, menurut Yang Dipertua Dewan Negara Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Beliau berkata mesyuarat Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) yang dipengerusikannya pada Rabu lalu telah memutuskan undang-undang itu di peringkat dasar.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk BHEUU merangka kertas kerja Kabinet bagi mendapatkan persetujuan untuk Majlis Bersama Dewan Negara dan Dewan Rakyat oleh Pejabat Peguam Negara untuk diedarkan kepada semua kementerian dan agensi yang berkaitan sebelum dibentang kepada Jemaah Menteri,” katanya menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dalam pada itu, Wan Junaidi ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Meja Bulat Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia Madani 2023 di Bangunan Parlimen hari ini berkata rang undang-undang untuk mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen itu diharapkan dapat dibentang di Parlimen pada bulan depan.

Akta Perkhidmatan Parlimen 1963  diperkenalkan bagi membuka jalan kepada Dewan Rakyat untuk bertindak sebagai badan bebas, menjalankan hal ehwalnya sendiri, memilih kakitangannya dan mengawal perbelanjaannya namun ia dimansuhkan pada 1992.

Sementara itu mengulas mengenai Meja Bulat Kesejahteraan Sosiobudaya Malaysia Madani 2023, Wan Junaidi berkata ia bagi membincangkan peranan dan gerak kerja seluruh institusi sosial dalam pembangunan negara.

Beliau berkata objektif utama meja bulat itu adalah untuk mengumpulkan idea dan maklumat dalam memantapkan pemahaman dan penghayatan serta isu latar sosiobudaya Malaysia daripada pelbagai segmen masyarakat.

Katanya empat kluster utama pembangunan yang menjadi fokus perbincangan secara intensif dan inklusif menerusi sesi dialog, sumbang saran dan wacana meja bulat itu adalah Kesejahteraan, Inovasi dan Pertumbuhan Ekonomi; Pendidikan, Nilai Budaya dan Pembangunan Insan; Keselamatan, Perpaduan Nasional dan Pengukuhan Institusi serta Perubahan Iklim dan Kelestarian Ekosistem Persekitaran.

Program sehari anjuran Parlimen Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu disertai panel berpengalaman dan pakar dalam empat kluster pembangunan antaranya Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Senator Aknan Ehtook.

Ia turut melibatkan pelbagai kumpulan masyarakat antaranya ketua agama, golongan rentan, pemimpin pelajar dan masyarakat, akademia, badan sukarela, usahawan serta golongan pekerja. – Bernama, 29 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen