BEKAS menteri yang bertanggungjawab bagi parlimen dan undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berdepan kontroversi lompat parti tidak diwajibkan melepaskan kerusi mereka.
“Setelah dimaklumkan oleh pelbagai sumber yang boleh dipercayai hari ini, empat ahli Parlimen itu telah meninggalkan Bersatu pada awal Oktober 2022, sebelum bertanding dalam pilihan raya pada November,” kata Wan Junaidi dalam satu kenyataan.
“Dalam hal ini, saya perlu bersetuju dengan peguam perlembagaan Sabah Tengku Fuad Ahmad bahawa undang-undang antilompat parti tidak menjejaskan mereka.”
Wan Junaidi berkata demikian menjawab mengenai isu melibatkan Khairul Firdaus Akbar Khan, Matbali Musah, Armizan Mohd Ali dan Jonathan Yassin, yang memenangi kerusi di Parlimen atas tiket GRS.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata ini melanggar undang-undang antilompat parti, memandangkan keempat-empat mereka sebelum ini adalah ahli partinya, dan menuntut mereka dilucutkan daripada jawatan Parlimen. – 12 Disember 2022.
Komen