Kumpulan hak asasi kecam Taliban larang wanita lawat taman negara


Kerajaan Taliban mengarahkan Taman Negara Band-e-Amir di wilayah Bamyan ditutup kepada wanita pada hujung minggu atas alasan mereka tidak menutup autrat dengan betul. – Gambar AFP, 29 Ogos 2023.

KUMPULAN hak asasi manusia mengecam kerajaan Taliban yang melarang wanita melawat salah satu taman negara paling popular di Afghanistan.

Aktivis melihat larangan itu bertujuan untuk menyekat kebebasan golongan wanita di negara itu.

Kumpulan ini merujuk arahan kerajaan Taliban supaya menutup Taman Negara Band-e-Amir di wilayah Bamyan kepada wanita pada hujung minggu atas alasan mereka tidak menutup autrat dengan betul.

Taman Negara Band-e-Amir, yang terletak 175km barat Kabul, terkenal dengan tasik biru menakjubkan serta dikelilingi tebing luas.

Wilayah Bamyan sangat popular untuk pelancongan domestik dan kerap dikunjungi warga Afghanistan untuk berehat di pantai atau mendayung bot.

Pengarah Hak Wanita Human Rights Watch (HRW) Heather Barr larangan itu sebagai melampau.

“Selepas merampas hak mendapat pendidikan, pekerjaan dan pergerakan bebas kanak-kanak perempuan dan wanita, Taliban juga mahu melarang mereka beriadah dan sukan, dan sekarang ke taman negara.

“Sedikit demi sedikit, peluang untuk wanita tertutup dan setiap rumah menjadi penjara,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri kebajikan dan pencegahan maksiat Mohammad Khalid Hanafi bagaimanapun mewajarkan larangan itu atas alasan wanita gagal memakai hijab dengan betul.

“Kita mesti ambil tindakan mulai hari ini. Ketidakpatuhan memakai hijab mesti dikekang,” katanya kepada AFP. – AFP, 29 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen