PRESIDEN PAS Abdul Hadi Awang disiasat selepas ucapannya di ibu pejabat parti di Bakri, Muar didapati mempunyai unsur-unsur 3R - isu kaum, agama dan institusi diraja, kata polis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Persekutuan Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata Hadi mempersoalkan kuasa Lembaga Pengampunan yang dikaitkan dengan institusi diraja.
Beliau berkata polis membuka kertas siasatan berhubung ucapan ahli Parlimen Marang itu sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram di Johor.
Polis pada awal hari ini dilaporkan menghubungi Hadi untuk merakamkan kenyataannya berhubung ucapan yang dibuat semasa berkempen di PRK Simpang Jeram di Johor.
Setiausaha politik Hadi Syahir Sulaiman berkata pemimpin parti Islam itu bersedia untuk bekerjasama dengan polis.
“Saya boleh mengesahkan CID menghubungi (Hadi) supaya kenyataannya direkodkan sebagai sebahagian daripada proses untuk melengkapkan siasatan.
“Pegawai CID menghubunginya untuk menentukan masa paling sesuai untuk kenyataannya direkodkan,” katanya sambil menambah siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Shuhaily juga berkata sudah ada 88 kes membabitkan isu 3R setakat tahun ini. – 28 Ogos, 2023.
Komen