PERSATUAN Hospital Swasta Malaysia (APHM) menafikan laporan media yang mendakwa hospital swasta di negara ini sesak susulan peningkatan kemasukan pesakit Influenza.
Presidennya, Dr Kuljit Singh berkata peningkatan kemasukan pesakit influenza A dikesan di beberapa hospital namun tidak menjejaskan kemasukan pesakit lain
“Kebanyakan hospital swasta di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menyaksikan peningkatan angka kemasukan pesakit akibat influenza A.
“Namun kadar itu tidak di tahap membimbangkan sehingga menjejaskan kemasukan pesakit lain.
“Secara umumnya, hospital swasta menyaksikan peningkatan kemasukan pesakit yang mendapatkan rawatan untuk pelbagai penyakit kronik mahupun bukan kronik serta kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, permintaan untuk penjagaan kesihatan dilihat meningkat namun ia bukan disebabkan Covid-19.
Tambahnya, peningkatan itu mungkin kerana tempoh perintah kawalan pergerakan yang panjang sehingga menjadi punca kurangnya penjagaan atau pemantauan terhadap kesihatan diri.
Laporan New Straits Times sebelum ini menyentuh soal kebimbangan ibu bapa terhadap cabaran mendapatkan katil di fasiliti perubatan swasta yang penuh.
Beberapa individu mendakwa mereka terpaksa menghubungi empat hospital namun tiada satu pun ada kekosongan.
Menurut Dr Kuljit, perkara itu berkait dengan kekurangan jururawat untuk membuka wad tambahan.
“Kami di hospital swasta mengalami masalah kekurangan kakitangan, terutamanya dalam bidang kejururawatan sehingga menghalang kami daripada meningkatkan kapasiti katil,” katanya.
Tambahnya, ia menyebabkan waktu menunggu lebih lama untuk kemasukan pesakit.
Kuljit turut memberi amaran keadaan ini akan bertambah teruk jika pada bulan mendatang kerajaan masih tidak diatas bagi menangani isu kekurangan jururawat itu.
“Ini kerana permintaan kepada kerajaan sudah dibuat beberapa kali untuk mengambil jururawat swasta asing bagi memenuhi keperluan semasa masih belum membuahkan hasil,” katanya.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan keadaan kes influenza menunjukkan peningkatan di Malaysia yang menimbulkan kebimbangan khususnya bagi yang berusia 60 tahun ke atas. – 28 Ogos, 2023.
Komen