Lelaki dituduh bunuh bekas ratu cantik, Jean Perera meninggal dunia


LELAKI yang didakwa dan kemudiannya dibebaskan daripada tuduhan membunuh kakak iparnya, seorang bekas ratu cantik, Jean Perera Sinnappa, 44 tahun lalu meninggal dunia hari ini.

S. Karthigesu, bekas pensyarah psikologi itu berusia 81 tahun.

Difahamkan, dia meninggal dunia di rumahnya di Teluk Pulai, Klang, pagi tadi akibat sakit.

The Star Online melaporkan Karthigesu menderita masalah jantung dan dementia atau nyanyuk.

Laporan itu menyebut, mendiang dimasukkan ke hospital swasta untuk beberapa hari sebelum dibenarkan keluar.

Karthigesu meninggalkan seorang ister, dua anak perempuan dan seorang anak lelaki.

Majlis pengebumiannya akan dijalankan esok di Klang.

Karthigesu menjadi terkenal apabila dia didakwa membunuh isteri mendiang abangnya Jean Perera pada 6 April 1979.

Jean Perera, 31 ketika itu terkenal dalam pertandingan ratu cantik ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di dalam kereta Karthigesu di Lebuhraya Persekutuan berhampiran persimpangan Lapangan Terbang Subang.

Karthigesu yang ditemui dalam keadaan terbaring di sebelah kereta itu mendakwa dia berhenti untuk membuang air kecil namun dipukul hingga pengsan.

Dalam perbicaraan pembunuhan itu, dinyatakan Karthigesu ketika itu berusia 37 tahun akan berkahwin dengan Jean Perera namun didakwa kononnya wanita itu curang.

Perbicaraan berlangsung selama lebih sebulan dengan hampir 60 saksi memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Karthigesu kemudiannya didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.

Namun, dua bulan kemudian dia dibebaskan apabila saksi utama didapati memberi kenyataan palsu.

Selepas itu tiada siapa yang didakwa atas pembunuhan Jean Parera itu.

Karthigesu kemudiannya menjalani kehidupannya senyap-senyap di Klang. – 27 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen