Palestin kutuk pembunuhan kejam di Tebing Barat


Penduduk Palestin mengiringi jenazah Kahla untuk dikebumikan. – Gambar AFP, 15 Januari, 2023.
KEMENTERIAN Luar Palestin mengutuk tindakan kejam tentera Israel yang menembak mati seorang rakyat Palestin di sebuah pusat pemeriksaan di Terbing Barat.
 
Kementerian itu mengecam tindakan kejam rejim Zionis itu terhadap Ahmad Kahla, 45 yang ditembak di perkampungan Silwad, utara Ramallah.
 
Tentera Israel memaklumkan anggotanya menembak seseorang selepas ‘konfrontasi’ ketika lelaki itu’cuba merampas senjata tentera’.
 
Anak lelaki mangsa, Qusai Kahla memberitahu AFP mereka berada dalam kereta ketika ditahan pada pusat pemeriksaan tersebut.
 
“Tentera datang dan sembur cecair lada ke muka saya lalu tarik saya keluar kereta.
 
“Saya tak tahu apa berlaku selepas itu. saya dapat tahu daripada pak cik saya, ayah dibunuh,” dakwa remaja 18 tahun itu.
 
Rejim Zionis pula mendakwa rakyat Palestin itu enggan berenti dan tentera menggunakan langkah menyurai rusuhan untuk menahan suspek dalam kenderaan tersebut.
 
Kahla ditembak pada bahagian leher, kata Kementerian Kesihatan Palestin sementara tentera berkata tiada anggotanya yang cedera.
 
Setakat ini, tentera rejim Zionis masih belum memberi respons kepada AFP berkait senjata yang digunakan untuk menghentikan kereta itu atau sama ada orang awam terbabit tidak bersenjata ketika dibunuh.
 
Agensi berita Palestin Wafa melaporkan tentera Israel didakwa memaksa mangsa keluar dari kereta sebelum menembak lelaki itu dari jarak yang dekat.
 
Kematian ini menjadikan angka pembunuhan rakyat Palestin di wilayah berkenaan mencecah 13 orang untuk bulan ini sahaja dengan kebanyakannya akibat ditembak tentera. – AFP, January 15, 2023.

Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen