Wajar mansuhkan pencen ahli politik


SARANAN untuk memansuhkan pencen ahli politik dilihat wajar dan perlu dipertimbangkan secara serius oleh pihak kerajaan. Ketika kempen pilihan raya negeri baru-baru ini, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mencadangkan pihak kerajaan menghapuskan sistem pencen bagi seluruh ahli politik dan mengembalikan sistem caruman.

Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, penerimaan pencen bagi ahli politik dilihat tidak adil kepada penjawat awam yang sememangnya layak. Menurut Syed Saddiq, ahli politik bukan sahaja menerima pencen menteri sahaja tetapi sebaliknya menerima pelbagai pencen lain.

“Saya datang dari keluarga penjawat awam, mereka perlu bekerja lebih 30 tahun baru berhak mendapatkan pencen. Bagi ahli politik, masuk pejabat terus layak dapat pencen seumur hidup.

“Sudahlah baru masuk pejabat terus layak dapat pencen, pencen pula bukan satu, bertingkat-tingkat. Ada pencen ahli parlimen, menteri, ahli Dewan Undangan Negeri dan speaker. Siap ada jawatan bertimbun-timbun syarikat milik kerajaan serta agensi yang berlainan.

Syed Saddiq yang juga ahli Parlimen Muar berkata, pengiraan pencen bagi ahli politik juga berlainan iaitu berbeza dengan pengiraan pencen untuk penjawat awam.

“Kiraan pencen bagi ahli politik agak unik, saya baru masuk pejabat sebagai menteri tetapi jumlah pencen bukan berdasarkan berapa lama saya berkhidmat sebagai menteri tetapi berapa lama saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen.

“Lagi lama saya berkhidmat sebagai ahli Parlimen, lagi tinggi pencen menteri saya,” katanya.

Tambahnya, kelebihan pencen tersebut menyebabkan terdapat ahli politik yang tidak mahu melepaskan jawatannya.

“Sebab itu banyak ahli politik tua tak nak lepaskan jawatan. Bergaduh-gaduh dengan pemimpin anak muda mereka kerana lagi lama mereka berkhidmat sebagai ahli parlimen lagi tinggi jumlah pencen ahli parlimen dan pencen menteri,” katanya.

Sekiranya apa yang dikatakan ini adalah benar, maka negara kita wajar mengambil satu bentuk langkah baru. Kita tidak boleh lagi menggunakan wang negara untuk menampung segala pencen yang diterima oleh kalangan ahli politik ini.

Wang pencen yang disalurkan kepada semua ahli politik seharusnya disalurkan kepada perkara yang lebih membawa kebaikan dan faedah kepada rakyat dan negara seperti penambahbaikan sektor pendidikan dan sektor kesihatan.

Tambahan pula pada ketika ini negara kita dan seluruh dunia sedang hadapi masalah ketidaktentuan ekonomi dan masalah kos sara hidup. Rakyat biasa termasuk penjawat awam terpaksa bekerja keras dengan jumlah gaji yang sedikit bagi menampung kehidupan seharian mereka. Tidak wajar sekiranya ada ahli politik menerima wang pencen yang banyak seperti yang dinyatakan oleh Syed Saddiq baru-baru ini.

Ahli politik harus terima hakikat bahawa diri mereka dipilih oleh rakyat dan pengundi untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.

Segala khidmat yang diberikan oleh semua ahli politik ini perlu dilakukan secara ikhlas demi rakyat dan negara. Maka tidak perlu semua ahli politik ini menerima apa-apa bentuk gaji, elaun serta pencen dari negara. Harap pihak kerajaan dapat mengkaji cadangan ini dengan lebih mendalam dan serius. Yang berhormat, berkhidmatlah secara ikhlas dan percuma demi rakyat dan negara. – 27 Ogos, 2023.

*Muzaffar Syah Mallow profesor madya Fakulti Syariah Dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen