Hamzah sahkan akaun miliknya dan isteri dibeku 


Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin mengesahkan pihak berkuasa telah membekukan kedua-dua akaun bank miliknya dan isteri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2023.

KETUA Pembangkang Hamzah Zainuddin hari ini mengesahkan pihak berkuasa telah membekukan kedua-dua akaun bank miliknya dan isteri.

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata tindakan ini diambil kerana terdapat tekanan dan campur tangan daripada pemimpin politik tertinggi kerajaan di Putrajaya.

“Pembekuan ini, yang kemudiannya disebarkan kepada media merupakan usaha terdesak kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk terus menekan pimpinan Perikatan Nasional yang semakin mendapat kepercayaan rakyat. 

“Ia juga satu taktik kotor berterusan bagi mencipta persepsi buruk terhadap Perikatan Nasional terutamanya selepas sokongan majoriti rakyat beralih kepada Perikatan Nasional yang memenangi 146 daripada 245 kerusi DUN baru-baru ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook

Beliau juga menjangkakan lebih banyak tindakan politik akan diambil terhadap dirinya dan pemimpin PN dalam masa terdekat, termasuk menggunakan polis untuk menyiasatnya kerana mengkritik DAP semasa kempen pilihan raya negeri.

“Kezaliman kerajaan PH-BN ini tidak akan menghentikan perjuangan saya. 

“Demi masa depan negara dan rakyat saya akan terus melawan kerajaan zalim ini.”

Hamzah berkata, beliau telah menyerahkan surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ketuanya dan kerajaan.

“Peguam saya sedang menyediakan kertas-kertas tindakan untuk tujuan memulakan tindakan Mahkamah terhadap SPRM, ketua pesuruhjaya SPRM dan Kerajaan Malaysia kerana mengheret nama saya dalam kes pendakwaan yang tiada kena mengena langsung dengan saya.

Tambahnya, pendakwaan politik ini sama seperti kes pengerusi PN Muhyiddin Yassin, yang mana SPRM dan Jabatan Peguam Negara digunakan untuk mencipta saman fitnah terhadapnya.

“Tetapi akhirnya Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan empat pertuduhan kerana cacat, tuidak berasas, kabur dan tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

“Hakim juga memutuskan bahawa pendakwaan tersebut adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.”– 24 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen