Pihak berkuasa patut tahan kumpulan The 1975, kata Hamzah 


Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin membidas kerajaan perpaduan berhubung isu tindakan biadap kumpulan The 1975 semasa Festival Good Vibes baru-baru ini.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2023.

PIHAK berkuasa sepatutnya menahan anggota kumpulan muzik British, The 1975, kerana tindakan biadap di atas pentas semasa Festival Good Vibes (GVF), kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin.

Malah katanya, kerajaan sepatutnya tidak membenarkan kumpulan itu memasuki Malaysia dan menyertai festival itu.

Bercakap pada majlis Perikatan Nasional malam tadi, beliau membidas kerajaan perpaduan kerana kegagalannya bertindak serta penganiayaan terhadap pemimpin PN.

Hamzah menegaskan polis bertindak pantas menahan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor pada pukul 3 pagi.

“Sanusi buat salah sikit pukul 3 pagi kena tangkap.

“Kumpulan (The 1975) ini saya tidak tahu bila polis dah tangkap. Buat macam-macam kesalahan. Tak tangkap pun.

“Inilah kerajaan yang ada, kerajaan double standard. Sebab tu kita tidak mahu kerajaan ini wujud lagi,” katanya memerik laporan Malaysiakini.

Semasa GVF di Sepang pada hari Jumaat, vokalis The 1975, Matt Healy telah mengkritik undang-undang Malaysia terhadap LGBT.

Dia turut mencium rakan kumpulan lelakinya, Ross MacDonald ketika di atas pentas, dan dilihat turut meminum minuman dipercayai minuman keras semasa kejadian.

Pengulas dalam talian juga mendakwa Healy meludah di atas pentas dan merosakkan dron kamera yang dikendalikan oleh krew festival.

Hamzah, yang merupakan bekas menteri dalam negeri, berkata beliau tidak pernah membenarkan kumpulan kontroversi seperti The 1975 ke Malaysia semasa beliau berkuasa.

Kerajaan tambahnya, sepatutnya menolak permohonan kumpulan itu sejak awal. – 24 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen