Dr Mohd Mazri, Zulkifli diumum calon PN PRK Simpang Jeram, Pulai


Muhyiddin (tengah) mengumumkan Zulkifli Jaafar (kanan) dan Dr Mohd Mazri Yahya (kiri) sebagai calon PN di dua PRK di Johor itu. – Gambar Facebook, 23 Ogos, 2023.

PAKAR perunding vaskular dan pakar bedah endovaskular Dr Mohd Mazri Yahya serta ahli perniagaan Zulkifli Jaafar masing-masing dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram dan Parlimen Pulai.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin yang mengumumkan perkara itu berkata pemilihan kedua-dua calon itu dimuktamadkan setelah mengambil kira semua faktor dan pandangan parti-parti dalam PN.

“Kedua-dua parti, Bersatu dan PAS ada jawatankuasa yang membuat penilaian berdasarkan beberapa kriteria seperti kelayakan, pengalaman, sifat, kegiatan dan lain-lain.

“Ia bukan diputuskan seorang. PAS ada sistem, Bersatu ada sistem (untuk menilai) selepas (peringkat) bahagian dan kawasan menamakan beberapa nama yang sesuai. Kita putuskan hanya seorang bagi kawasan yang ditandingi,” kata Presiden Bersatu itu kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon PN bagi kedua-dua kerusi itu di Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata Dr Mohd Mazri dan Zulkifli merupakan pemimpin kawasan serta calon yang berwibawa dan berintegriti.

Dr Mazri, 54 adalah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor pernah bertanding di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Zulkifli, 50 yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai mempunyai 26 tahun pengalaman sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan calon muka baharu diketengahkan.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata PN tidak menawarkan manifesto khusus untuk PRK berkenaan tetapi akan menjelaskan kaedah PN dalam menangani isu-isu khusus yang dialami rakyat Johor, misalnya dalam soal kemiskinan dan isu kos sara hidup.

Bercakap kepada pemberita, Dr Mohd Mazri berazam mahu meneruskan misi membantu rakyat dan berharap masyarakat di kawasan yang akan ditandingi dapat menerima beliau.

“Insya-Allah, saya akan cuba sempurnakan amanah ini dan tujuan kami dalam PAS yang bertanding bukan untuk kekayaan ataupun kekuasaan dan sebagainya tetapi untuk kami berkhidmat kepada rakyat,” katanya yang kini berkhidmat di jaringan hospital swasta di negeri ini.

Turut senada, Zulkifli pula berhasrat untuk berkongsi pengalaman 26 tahun beliau sebagai ahli perniagaan dalam bidang logistik dan pengangkutan bagi membantu mereka yang ingin meningkatkan taraf ekonomi menerusi perniagaan.

“Saya bersyukur diberikan kepercayaan untuk PRK kali ini. Saya banyak membantu usahawan. Jadi saya rasa tidak ada masalah untuk bantu (mereka yang memerlukan),” katanya. – Bernama, 23 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen