CALON Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat mahu memberikan kemenangan dengan majoriti yang meyakinkan buat PH, bulan depan.
Biar pun tidak pernah memenangi lima kerusi Dewan Undangan (DUN) dan satu kerusi Parlimen yang pernah ditandingi, beliau tetap optimis mampu memenangi hati warga Pulai kerana sudah berkhidmat di kawasan itu dalam arena politik termasuk ketika menjadi Speaker DUN Johor bagi tempoh 2018 sehingga awal tahun lepas.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor dan Ketua Amanah Kawasan Pulai sejak 2015 itu yakin mampu menggalas amanah dan kepercayaan yang diberikan parti apatah lagi meneruskan legasi penyandang kerusi sebelum ini, iaitu Allahyarham Salahuddin Ayub.
“Pulai ialah kerusi yang dimiliki PH dan kita mahu ia dikekalkan dengan majoriti yang meyakinkan. Ini untuk memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan yang ditadbir Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Amanah dan PH beri kepercayaan kepada saya untuk bertanding, saya faham ini satu tugas berat kerana saya membawa amanah untuk menyambung legasi dilaksanakan Allahyarham. Insya-Allah saya bersedia menggalas amanah ini,” katanya di Program Outreach Sara Hidup Inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional Peringkat Negeri Johor di Johor Bahru, hari ini.
Salahuddin memenangi kerusi Pulai buat kali kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti 33,174 undi sekali gus mengalahkan calon Barisan Nasional Nur Jazlan Mohamed.
Meskipun tanggungjawab agak berat, Suhaizan memegang pesanan Allahyarham yang mahu pegawainya turut sama bekerja serta berkhidmat untuk rakyat dan itu akan sentiasa menjadi kata-kata semangat buatnya.
Beliau mengimbau kenangan Allahyarham pernah berseloroh tidak mahu mempertahankan lagi kerusi Parlimen Pulai selepas PRU15 yang dilihat antara petanda pemergiannya.
“Bagi kami, Pulai kawasan yang sesuai untuk Allahyarham dan apabila beliau bercakap tentang kerusi yang mahu dilepaskan, ia perkara yang luar biasa tetapi kami tidak sangka ia benar berlaku,” katanya.
Semalam, Presiden parti Amanah Mohamad Sabu mengumumkan pencalonan Suhaizan mewakili PH bagi kerusi Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram pada kedua-dua PRK bulan depan.
PRK dilaksanakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Salahuddin pada 23 Julai lepas.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon pada 26 Ogos depan, 5 September untuk pengundian awal dan 9 September sebagai hari mengundi untuk kedua-dua PRK itu. – Bernama, 20 Ogos, 2023.
Komen