Majlis Keselamatan PBB kutuk serangan ke atas pengaman Cyprus


Majlis Keselamatan PBB banyak melakukan usaha pengantaraan bagi mengatasi perpecahan di pulau Cyprus sejak 1974, setakat ini gagal. – Gambar EPA, 22 Ogos, 2023.

MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin mengecam serangan ke atas anggota pasukan pengaman serta “pembinaan tanpa kebenaran” di zon penampan dikawal PBB di pulau Cyprus, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Pada Jumaat, pasukan keselamatan Cyprus Turkiye menyerang anggota Pasukan Pengaman PBB di zon penampan Cyprus (UNFICYP) antara selatan Cyprus Greek an utara Cyprus Turkiye utara berhampiran kampung Pyla (dikenali Pile dalam bahasa Turkiye).

Insiden itu menyebabkan empat anggota pengaman cedera, selain kerosakan ke atas kenderaan PBB, menurut Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

Menurut Dujarric, pasukan pengaman itu menghalang kerja pembinaan yang tidak dibenarkan di kawasan itu berdasarkan mandat mereka.

Terdahulu pada Isnin, Dujarric dalam taklimat akhbar berkata keadaan kembali tenang hari ini dan empat anggota pengaman yang cedera dibenarkan keluar dari hospital.

“Misi ini sedang berunding dengan pihak Cyprus Turkiye dan semua yang terlibat, supaya semua pihak bersetuju dan menghormati pihak berkuasa yang diberi mandat oleh PBB di zon penampan,” katanya.

Minggu lepas, Kementerian Luar Turkiye mengecam campur tangan PBB dalam projek pembinaan jalan Cyprus Turkiye dan menggesa badan dunia itu menghormati kedaulatan Cyprus Turkiye dan projek jalan raya “kemanusiaan”, selain memintanya supaya tidak memihak.

Banyak usaha pengantaraan PBB bagi mengatasi perpecahan di pulau itu sejak 1974, setakat ini gagal. – Bernama, 22 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen