Makna perpaduan bukan pada logo


SAYA mengambil serius isu terkini yang sering dimainkan pihak tertentu berkenaan isu logo pada hari kebangsaan. Namun begitu, saya kira tidak wajar kita memanjangkan isu ini memandangkan ketika menjadi pembangkang sebelum ini kita juga menggunakan logo berbeza berbanding kerajaan pusat sebelum ini.

Saya juga memahami ada kekecewaan dilemparkan oleh golongan atas pagar yang melihat isu logo ini hanya berbentuk politik sempit yang dimainkan kedua-dua belah pihak. Tidak wajar sekiranya kita melemparkan pihak lawan bersifat tidak patriotik apabila kita sendiri juga melakukan hal yang sama ketika menjadi pembangkang satu ketika dahulu. 

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, adalah lebih baik kita menyuburi semangat kemerdekaan dengan menunjukkan rasa cinta terhadap negara dengan membangunkan negara tercinta ini bersama-sama walau berbeza ideologi politik dan meraikan perbezaan yang ada. 

Bukankah Malaysia kaya dengan budaya, bangsa dan bahasa semenjak sebelum merdeka lagi? Mengapa harus kita berpecah-belah hanya kerana konsep dan fahaman politik yang tidak sehaluan sedangkan kita kaya dengan kepelbagaian?

Pada pandangan saya, isu logo ini bukanlah isu utama, perkara pokoknya apa erti merdeka jika minda masih dijajah? Apa erti merdeka jika kita masih seronok berpesta merayakan api kebencian di saat kita sepatutnya merayakan Hari Kemerdekaan dengan penuh rasa cinta dan berkasih sayang sesama kita sebagai warganegara Malaysia? Apakah fahaman politik ini perlu dijadikan kiblat untuk kita menghunus pedang pada lawan hanya kerana pendekatannya berbeza berbanding kita? 

Sebagai anak muda yang cintakan negara, saya tidak gemar bermain politik sempit hanya untuk mencari kesalahan pihak lawan sedang kita melakukan hal yang sama sebelum ini. Jika diingat sebelum ini kerajaan negeri Selangor serta kerajaan negeri pembangkang sebelum ini juga memilih logo berbeza berbanding kerajaan pusat tidak pula menjadi pertikaian sebegini rupa. 

Sikap anak muda perlu lebih besar daripada politik sebegini. Sewajarnya kita menumpukan usaha memulihkan negara secara bersama bukan mencurah minyak pada api di bulan kemerdekaan sebegini.

Saya mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama refleksi diri dan menghidupkan semangat kemerdekaan dengan berusaha bersama-sama memulihkan ekonomi serta mengangkat negara menjadi Harimau Asia di rantau ini.

Tema kita pada tahun ini juga Tekad Perpaduan Penuhi Harapan, jadi bagaimana kita mahu bersatu-padu jika isu logo pun menjadi isu? Dalam setiap perbezaan, pasti ada persamaan dan persamaan yang penting walau berbeza ideologi dan fahaman politik kita semua pada akhirnya adalah rakyat Malaysia yang ingin Malaysia ke arah lebih dan maju. – 22 Ogos, 2023.

 

* Yuslaini Azmi, aktivis politik PKR.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen