TIGA nelayan yang dilaporkan hilang semalam ditemukan selamat di Pantai Belawan dekat Tak Bai, Thailand pada pukul jam 2.32 petang hari ini.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Khairun Dalilah Baharin berkata bot itu didapati kehabisan minyak dan rosak serta perlu ditunda oleh Polis Marin Thailand hingga ke sempadan.
“Bot itu ditemukan 10 kilometer dari sempadan perairan Malaysia-Thailand.
“Ketiga-tiga mangsa dijangka tiba di Jeti Kuala Kemasin lewat petang ini,” katanya kepada pemberita di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Kuala Kemasin di Bachok, Kelantan hari ini.
Terdahulu, Bernama melaporkan tiga nelayan yang keluar memukat ikan di Kuala Kemasin, dilaporkan hilang sejak 3 pagi semalam dipercayai selepas berlakunya ribut dan kabus tebal. – Bernama, 21 Ogos, 2023.
Komen