AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal pengangkut yang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 20.1 batu nautika timur Tanjung Siang dekat Kota Tinggi, Johor semalam dan mendapati ia membawa beberapa besi buruk dan juga peluru meriam lama.
Pengarah Maritim Johor Nurul Hizam Zakaria berkata kapal yang berdaftar dari Fuzhou, China itu ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut Malaysia ketika diperiksa dalam operasi rutin agensi itu pada jam 12.45 tengah hari.
Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati kapal itu dikendalikan 32 kru lelaki termasuk nakhoda yang terdiri daripada 21 warga China, 10 warga Bangladesh dan seorang warga tempatan, berusia dalam lingkungan 23 hingga 57 tahun.
“Pemeriksaan lanjut ke atas kapal itu membawa kepada penemuan besi buruk dan peluru meriam yang disyaki mempunyai kaitan dengan kes penemuan ‘Unexploded Ordnance’ (UXO) di Tanjung Belungkor pada 19 Mei lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan terdapat sebuah kapal korek asing dikesan menjalankan operasi haram mengambil besi buruk daripada bangkai kapal perang dunia kedua milik British yang karam di kawasan perairan Kuantan.
Nurul Hizam berkata APMM akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Warisan Negara bagi mengenal pasti peluru yang dijumpai di atas kapal berkenaan, disyaki berasal daripada peluru zaman perang dunia kedua. – Bernama, 29 Mei, 2023.
Komen