SEMUA baki sembilan jenazah mangsa nahas kapal terbang terhempas di Bandar Elmina, Khamis lalu dikebumikan hari ini.
Semua jenazah dibawa keluar dari Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang secara berperingkat untuk dimandi dan disembahyangkan di Masjid Jamek Ar-Rahimiah yang terletak kira-kira 2 kilometer.
Selesai mandi dan solat jenazah di masjid itu, semua jenazah kemudian dibawa ke destinasi masing-masing untuk dikebumikan.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2 sebaik sahaja jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai Allahyarham Johari Harun tiba.
Jenazah Johari, 53, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, selamat dikebumikan kira-kira jam 12.04 tengah hari dengan bacaan talkin oleh anak Allahyarham sendiri Muhammad Hafiz Naqiuddin.
Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail, bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.
Semalam jenazah Allahyarham Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32, seorang lagi mangsa dalam tragedi pesawat terhempas itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani, pada jam 4 petang.
Sementara itu, jenazah pemandu e-hailing, Allahyarham Sharipuddin Shaari, 51, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Sultan Hisamuddin, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira jam 12.50 tengah hari.
Terdahulu, jenazah Allahyarham sekali lagi disembahyangkan di Masjid Jamek Sultan Hisamuddin dengan dipimpin Imam Saudi Jusoh yang kemudian turut membacakan talkin.
Lebih 100 jemaah termasuk ahli keluarga menunaikan solat jenazah berkenaan.
Seorang lagi mangsa Mohammad Taufiq Mohd Zaki, 37, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana kira-kira jam 1 tengah hari.
Sebelum dikebumikan, jenazah Mohammad Taufiq yang merupakan pegawai khas Allahyarham Johari sekali lagi disembahyangkan di Masjid Bukit Indah, Ampang.
Jenazah Khairil Azwan, 43, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Mempaga 1, Bentong, Pahang kira-kira jam 1.50 tengah hari selepas sekali lagi disembahyangkan di kediaman ibu bapa Allahyarham yang diimamkan anak sulungnya, Khairul Harisin, 14.
Suasana pilu menyelubungi pengebumian Khairil Azwan yang turut dihadiri Adun Peramu Jaya Mohamad Nizar Mohd Najib, ahli keluarga serta kenalan.
Pada 16 September 2010, Khairil Azwan pernah terbabit dalam satu nahas helikopter ketika bertugas sebagai pembantu juruterbang bahagian udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Seorang lagi mangsa Mohammad Naim Fawwas, 35, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Kantan, Kajang kira-kira jam 2 petang.
Sementara itu, cuaca mendung mengiringi pengebumian seorang daripada juruterbang pesawat, Heikal Aras Abdul Azim, 45, di Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya kira-kira jam 2.20 petang dengan bacaan talkin oleh imam Masjid Mahmoodiah Presint 18, Muhammad Rafuwan Putra Affendi.
Sebelum dikebumikan, jenazah dibawa ke kediaman keluarganya di Taman Desa Pinggiran Putra, Sepang.
Heikal Aras meninggalkan tiga anak, Daniel Zulqarnain, 13, Suri Balqish, 10, dan Rafael Dzulqairy, 9, hasil perkongsian dengan bekas isterinya, Christine Yong. – Bernama, 20 Ogos, 2023.
Komen