Jenazah pendaki Everest tiba di KLIA awal pagi esok


Jenazah Pengarah APM Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub akan dikebumikan di kampung halamannya Papar, Sabah. – Gambar Facebook, 26 Mei, 2023.

JENAZAH peserta misi pendakian Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Awang Askandar Ampuan Yaacub, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 6.25 pagi esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali berkata jenazah akan diterbangkan dari Kathmandu, Nepal menggunakan pesawat MH115 pada jam 11.30 malam ini (waktu Kathmandu).

“Jenazah akan dibawa balik ke Kota Kinabalu dengan menaiki pesawat MH2646 pada jam 11.35 pagi, 27 Mei 2023 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada jam 2.15 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Atas permintaan ahli keluarga, Armizan berkata jenazah akan dibawa ke kediaman mereka di Kampung Benoni, Papar dan kemudiannya ke Masjid Jamek As-Salam Benoni untuk solat jenazah.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Kampung Benoni dengan mengikut istiadat penghormatan APM.

Menurut kenyataan itu, urusan membawa balik jenazah diselaraskan dengan lancar oleh pihak Kedutaan Malaysia di Nepal.

Media tempatan sebelum ini melaporkan Awang Askandar meninggal dunia sehari selepas terjatuh ketika melakukan pendakian ke Gunung Everest dan hanya memerlukan kira-kira 20 minit untuk sampai ke puncak, pada ketinggian kira-kira 8,000 meter dari paras laut.

Seorang lagi pendaki, orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, 33, dilaporkan hilang selepas berjaya menawan puncak gunung tertinggi dunia itu dan usaha mencarinya masih dijalankan. – Bernama, 26 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen