Lau bantah guna tema, logo Merdeka berbeza di negeri Perikatan


Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata beliau membuat bantahan ketika mesyuarat pimpinan pusat Perikatan Nasional. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2023.

CADANGAN untuk menggunakan logo dan tema Hari Merdeka alternatif di empat negeri ditadbir Perikatan Nasional (PN) dibantah oleh presiden Gerakan, Dominic Lau.

Timbalan Pengerusi PN itu berkata sambutan Hari Merdeka tidak harus dipolitikkan dan pembangkang tidak boleh dilihat orang ramai sebagai cuba berbuat demikian.

Lau berkata beliau membuat bantahan semasa mesyuarat pimpinan pusat PN.

“Fadhli membuat cadangan itu kerana kita lihat kerajaan pusat mempolitikkan tema (Hari Merdeka) dengan menggunakan istilah seperti ‘Madani’ dan ‘perpaduan’.

“Tetapi Fadhli tidak boleh berbuat apa-apa kerana beliau bukan ketua menteri atau menteri besar,” katanya pada sidang media di Pulau Pinang.

Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari semalam dilaporkan berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan menyambut Merdeka di bawah logo dan tema berasingan, yang dilancarkan oleh bahagian pemuda PN semalam.

Tema itu adalah “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera”.

Beliau berkata, logo bunga raya dengan lima kelopak iaitu bunga kebangsaan adalah dalam warna Jalur Gemilang.

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata sambutan Hari Merdeka tidak boleh dipolitikkan.

Beliau menyifatkan rancangan PN untuk menggunakan logo dan tema Hari Merdeka berbeza di empat negeri di bawah pentadbirannya sebagai “gila”.

Beliau berkata Fadhli yang mencetuskan idea itu “berfikiran sempit” dan tidak sepatutnya menjadi wakil rakyat.

“Dia gila atau apa? Dia tidak layak menjadi ahli Parlimen jika berfikiran sempit,” kata Zahid di Putrajaya hari ini.

“Ini mengenai sambutan Hari Merdeka di peringkat kebangsaan… tidak semua perkara boleh dipolitikkan.”

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata sambutan Merdeka adalah acara kebangsaan.

Beliau berkata tema yang berasingan akan mewujudkan suasana perpecahan.

“Saya menggesa perkara ini diteliti kerana kita mahu bersatu, ketepikan semua ini kerana masa untuk berpolitik sudah tamat dengan selesainya pilihan raya negeri,” kata Fahmi di Putrajaya hari ini. – 20 Ogos, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen