Amanah pertahan kerusi Pulai dan Simpang Jeram


Amanah akan mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram yang kosong selepas kematian Salahuddin Ayub bulan lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2023.

AMANAH memilih bekas speaker Dewan Undangan Negeri Johor Suhaizan Kaiat untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pulai manakala jurutera Nazri Abdul Rahman pula akan bertanding di DUN Simpang Jeram, kata Mohamad Sabu.

Presiden Amanah itu berkata kedua-dua calon akan diperkenalkan kepada pengundi pada majlis tahlil Allahyarham Salahuddin Ayub pada 23 Ogos ini.

Kedua-dua kerusi itu kosong selepas Salahuddin yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup meninggal dunia bulan lepas kerana pendarahan otak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil akan diadakan pada 9 September depan dengan penamaan calon akan berlaku pada 26 Ogos dan pengundian awal pada 5 September.

Suhaizan, 50, adalah speaker DUN Johor pada 2018 hingga 2020, sebelum Kerajaan negeri Pakatan Harapan tumbang susulan Langkah Sheraton.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik Salahuddin.

Bekas pensyarah UiTM itu adalah naib presiden Amanah Johor dan Ketua Bahagian Pulai.

Calon DUN Simpang Jeram, Nazri yang berusia 56 tahun pula adalah seorang jurutera di Majlis Perbandaran Muar selama 30 tahun. Beliau juga adalah Timbalan Ketua Amanah Bahagian Bakri, Johor.

Pada pilihan raya umum lalu, Salahuddin mempertahankan kerusi Pulai dengan undi majoriti 33,174 selepas meraih 64,900 undi. Beliau menewaskan calon Umno Nur Jazlan Mohamed yang mendapat 31,726 undi dan calon Gerakan Loh Kah Yong yang menerima 20,677 undi.

Beliau turut mengekalkan kerusi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 2,399 selepas meraih 8,749 undi. Beliau menewaskan calon Umno Lokman Md Don (6,062), PAS Zarul Salleh (6,350) dan Pejuang Mahaizal Mahmor (208). – 19 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen