KERUSI Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram milik Amanah namun ia akan diputuskan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebelum dibawa ke Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, kata Pengerusi PH Anwar Ibrahim.
“Selalunya kita hormat keputusan lama. Itu kerusi Amanah tetapi ini akan diputuskan oleh Majlis PH dan kemudian saya angkat ke Majlis Kerajaan Perpaduan,” kata Anwar yang juga perdana menteri kepada media selepas merasmikan Sidang Kemuncak Tahun Pengkomersialan Malaysia 2023 (MCY Summit 2023), hari ini.
Semalam, Pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan memberi laluan kepada Amanah untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 9 September ini.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata keputusan itu dibuat atas semangat perkongsian politik dalam kerajaan perpaduan.
Dalam mesyuarat khas yang diadakan semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah 26 Ogos dan pengundian awal pada 5 September.
PRK bagi kerusi Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram diadakan ekoran kekosongan luar jangka berikutan kematian penyandangnya Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.
Salahuddin, 61, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar, Kedah pada 9.23 malam setelah ditidurkan selepas menjalani pembedahan akibat pendarahan otak. – Bernama, 4 Ogos, 2023.
Komen