Korban letupan di Republik Dominika cecah 27 orang


Kira-kira 500 anggota bomba dan pegawai penyelamat dikerahkan ke tempat kejadian, dengan anjing pencari digunakan untuk mengesan mangsa. – Gambar AFP, 17 Ogos, 2023.

ANGKA kematian akibat letupan yang berlaku di kawasan komersial sebuah bandar di Republik Dominika meningkat kepada 27 orang, kata pihak berkuasa hari ini.

Letupan pada Isnin menyebabkan gelombang kejutan di kawasan komersial San Cristobal, kurang 30km dari bandar Santo Domingo, mencetuskan kebakaran yang sebahagiannya masih menyala dua hari kemudian.

Pengarah pusat operasi kecemasan negara itu, Juan Manuel Mendez, memberikan angka terkini pada sidang akhbar, berkata keutamaan sekarang ialah memadamkan kebakaran.

Pegawai pertahanan awam Delfin Antonio Rodriguez memberitahu saluran berita tempatan SIN yang 90%kebakaran berjaya dipadamkan.

Daripada 59 orang yang cedera, 37 masih dirawat di hospital, kata pegawai.

Media tempatan melaporkan sebahagian daripada mereka yang cedera melecur sehingga 40% badan mereka.

“Ini adalah satu peristiwa yang memberi kesan kepada kita semua, kita semua sangat terkejut, sangat sedih,” kata Presiden Luis Abinader, yang menghadiri himpunan menghormati mangsa.

Beliau mengisytiharkan hari berkabung negara pada Khamis, dengan bendera akan dikibarkan separuh tiang.

Pihak berkuasa berkata pada Isnin, seorang bayi berusia empat bulan adalah antara yang maut.

Punca letupan belum dapat dipastikan atau bagaimana ia bermula.

Letupan dan kebakaran mengakibatkan sembilan bangunan terjejas dengan 4 daripadanya musnah.

Kira-kira 500 anggota bomba dan pegawai penyelamat lain dihantar ke tempat kejadian, dengan anjing pencari digunakan untuk mengesan mangsa.

“Tingkap rumah bergegar kuat dan saya sangkakan ada gempa bumi,” kata seorang saksi kepada akhbar Listin Diario. – AFP, 17 Ogos 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen