HAMPIR 15,000 pelancong Rusia dan 2,000 pelancong Ukraine terkandas di Republik Dominika berikutan sekatan perjalanan yang dikenakan selepas pencerobohan Moscow ke atas jirannya, kata kerajaan di Santo Domingo pada Rabu.
Negara Caribbean itu berkata ia telah mencapai perjanjian dengan rangkaian hotel untuk menjamin penginapan pelancong sehingga jalan penyelesaian ditemui.
Hotel di Republik Dominika, sebuah negara yang terkenal dengan pantai yang indah, menerima lima juta pelancong pada tahun 2021.
14,800 pelancong Rusia kebanyakannya berada di wilayah timur La Altagracia, yang menempatkan lokasi tumpuan pelancong Punta Cana.
Tinjauan rasmi juga mendapati kira-kira 1,900 pelancong Ukraine berada di negara itu.
Mereka akan tinggal di hotel penginapan mereka sehingga rancangan penghantaran pulang disediakan.
Konsul kehormat Ukraine ke Republik Dominika mendakwa terdapat kira-kira 3,000 warganya di negara itu, yang mana 1,200 daripadanya telah dikeluarkan dari hotel mereka.
AFP tidak menemui warga asing yang terkandas di kawasan pelancongan utama.
Satu kenyataan daripada pejabat Menteri Pelancongan David Collado berkata pegawainya akan mengadakan lawatan hotel dalam beberapa hari akan datang untuk memastikan keperluan mereka yang tidak dapat kembali ke negara masing-masing.
Kesatuan Eropah, United Kingdom dan Kanada menutup ruang udara mereka kepada pesawat Rusia sebagai tindak balas kepada pencerobohan itu, dan Rusia pula melarang syarikat penerbangan dari negara yang sama daripada terbang di atas wilayahnya.
Republik Dominika, salah sebuah negara tidak pernah menutup sempadannya semasa wabak koronavirus, menerima 183,700 pelancong Rusia dan 85,912 warga Ukraine pada 2021, menurut Bank Pusat. – AFP, 3 Mac, 2022.
Komen